Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Budaya penting sebagai lambang dan identiti kaum

$
0
0

SARIKEI: Masyarakat harus berpegang teguh dengan pepatah ‘biar mati anak, jangan mati adat’ jika mahu imej bangsa dan budaya terus terpelihara dan bertahan sampai bila-bila.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata adat budaya dan seni tradisi dalam sesebuah kaum berperanan penting sebagai lambang atau identiti kaum berkenaan.

“Jika kita melihat dewasa ini, adat dalam kita tidak sedar, semakin hari semakin tipis kesannya kepada masyarakat.

“Tidak usah mengambil contoh yang jauh untuk kita lihat, lihat sahaja pada setiap sesuatu majlis yang berlangsung, dapat kita lihat dengan jelas apabila tetamu kehormat berucap, sudah pasti akan ada tetamu yang hadir sibuk menggores itu dan ini pada telefon bimbit mereka, sama ada melayari Twiter, Facebook atau aplikasi-aplikasi lain yang ada pada telefon atau i-Pad mereka.

“Situasi ini jelas menggambarkan bahawa mereka telah terbuai oleh kemodenan arus teknologi dan mengabaikan adat dan budaya menghormati orang lain.

“Mereka juga tidak akan peka atau mengambil sebarang iktibar daripada majlis yang sedang berlangsung dan impaknya ialah masej disampaikan oleh orang yang manyampaikan amanah itu akan dipersia-siakan dan masalah ini boleh kita kategorikan sebagai pembaziran,” kata Abu Seman.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman pada Majlis Silaturahim Aidilfitri dan Kesyukuran Bersama Pemimpin di Dewan Serba Guna Kampung Seberang di sini, kelmarin.

Tambahnya, generasi muda hari ini perlu melihat budaya tradisi sejak zaman-berzaman sebagai harta amat berharga dan mesti dipertahankan.

“Sebagai generasi pelapis, belia perlu berasa bangga selain menyimpan perasaan sayang dan cinta terhadap budaya dan adat sendiri.

“Masyarakat kita memang terkenal dengan adat resamnya.

“Ia bukan sahaja melambangkan keunikan Sarawak, tetapi membuktikan masyarakat amat mementingkan tradisi yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

“Usaha menggalakkan generasi muda supaya lebih berminat menyertai aktiviti sihat perlu ditingkatkan selaras dengan perubahan masa,” katanya.

Menurutnya, langkah itu  sejajar hasrat kerajaan melahirkan pemimpin berilmu serta berwawasan dalam usaha mewujudkan kesinambungan mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat pada masa depan.

Melalui konsep 1Malaysia, kerajaan memastikan setiap bantuan dan sumbangan kepada rakyat diberi keutamaan bagi mencapai kemajuan bersama.

“Justeru, kita perlu memahami konsep 1Malaysia sebagaimana yang diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha membangunkan setiap lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

Sekitar 500 orang masyarakat setempat hadir pada majlis itu.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228