KUCHING: Hornbill Skyways dijangka menerima sebuah helikopter jenis Eurocopter EC155-B1 pada November depan.
Pengerusi Eksekutifnya Datuk Aidan Wing berkata, helikopter canggih yang mampu memuatkan 14 orang termasuk seorang juruterbang itu akan digunakan orang kenamaan.
“Pihak kami menjangka akan menerima Eurocopter EC155-B1 pada November kelak dan penambahan ini akan menjadikan bilangan helikopter yang kami miliki ialah 14 pesawat.
“Buat masa ini, kami memiliki 10 helikopter, dua pesawat udara bermuatan sembilan penumpang dan sebuah jet Bombardier CL605,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri bersama anak-anak yatim dari Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (PERYATIM) di sini, petang semalam.
Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana kakitangan Hornbill Skyways berjaya mengelolakan majlis sosial yang amat bermakna tersebut.
Aidan berkata, ia merupakan salah satu sumbangan sosial pihak Hornbill Skyways kepada masyarakat.
Beliau berharap ada di kalangan anak-anak yatim yang diraikan pada majlis itu akan menjadi juruterbang pada masa depan.