KUCHING: Polis tidak menolak kemungkinan golongan kenamaan terlibat dengan operasi kumpulan kongsi gelap di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Bakri Zinin.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengumumkan banyak lagi nama kumpulan dan individu yang terlibat.
Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya tetap memerlukan kerjasama daripada orang awam terutama dari segi penyaluran maklumat.
“Kita tidak dapat nafikan kemungkinan orang kenamaan terlibat dengan operasi kumpulan kongsi gelap.
“Tetapi kita perlu melihat dari sudut positif dan memerlukan kerjasama orang awam untuk tampil membantu dari segi penyaluran maklumat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Serah/Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak di sini, semalam.
Beliau berkata, pendedahan kumpulan kongsi gelap seterusnya akan melibatkan operasi dan lokasi kegiatan.
“Kita (polis) akan berusaha sebaik mungkin untuk membanteras kumpulan ini (kongsi gelap) daripada terus aktif kerana ia akan menimbulkan masalah dari segi ekonomi dan pelancongan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurutnya, polis akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk memerangi jenayah di seluruh negara.
“Ini kerana jenayah tidak statik dan memerlukan kita merangka pelbagai strategi,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Arcyl Sani Abdullah Sani berkata, seramai 1,425 individu diperiksa di seluruh negeri sepanjang operasi mencegah jenayah dari 19 hingga 28 Ogos lepas di seluruh negeri.
“Daripada jumlah ini, kita membuat 55 tangkapan dan mereka merupakan suspek serta individu dikehendaki untuk membantu siasatan atas jenayah yang dilakukan seperti pecah rumah, curi kenderaan atau samun,” kata Acryl sambil menambah terdapat kira-kira 237 bekas tahanan Ordinan Darurat dari Sarawak.