KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu Sarawak Forestry Corporation menyusun atur pengurusan Hutan Tanam Semula secara mapan bagi memastikan ia setanding dengan pengurusan hutan asli di negeri ini.
Beliau memberitahu ia merupakan cabaran yang besar bagi Sarawak Forestry berhijrah daripada pengurusan hutan asli secara eksklusif kepada jenis hutan lain, iaitu tanaman semula hutan.
“Itulah cabaran anda seterusnya iaitu menanam semula hutan menerusi idea penyelidikan yang dapat dijalankan dengan spesies yang tumbuh sesuai dan cepat tumbuh bagi pelbagai jenis tanah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Sarawak Forestry Ke- 10 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.
“Malah, perkara ini menjadi cabaran besar bagi kita terutamanya dari sudut pandangan keupayaan untuk menggunakan ilmu pengetahuan terbaik bagi memastikan pengurusan hutan tanam kita setanding dengan pengurusan hutan asli kita,” tambahnya.
Selain itu, Taib berkata, Sarawak Forestry perlu melakukan transformasi yang memberi lebih tumpuan kepada cara menjayakan hutan tanam semula itu.
“Saya amat yakin Sarawak Forestry dapat menjayakannya kerana apa yang saya lihat dalam tempoh 10 tahun banyak pencapaian yang membanggakan telah dicapai,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu kerajaan akan sentiasa mencari jalan bagi bersama- sama menjayakan usaha itu.
Terdahulu, Pengerusi Sarawak Forestry Datu Dr Yusoff Hanifah dalam ucapannya berkata, Unit Pengurusan Hutan Anap Muput di Sarawak telah menerima Anugerah Persijilan Pengurusan Hutan di bawah MC&I (Hutan Asli) Skim Pensijilan Perkayuan Malaysia.
“Kita akan terus ke hadapan dan pada masa ini, kita sedang menstrukturkan semula keperluan dalam aspek penanaman semula hutan, pengurusan hutan, R&D dan hubungan kerjasama,” jelasnya.
Malah, beliau memberitahu Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Burung Kenyalang Antarabangsa Ke-7 yang akan berlangsung pada tahun 2017.
“Saya percaya Sarawak Forestry akan terus ke hadapan dalam mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman dan tetamu kehormat lain.