KUCHING: Kerja-kerja pembinaan bumbung di sepanjang Lebuh India (India Street) di sini akan bermula awal tahun depan.
Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata, pelan tersebut sudah diluluskan termasuk peruntukan daripada kerajaan negeri.
“Pembinaan bumbung tersebut dijangka siap menjelang tahun 2015,” ujar Abang Wahap ketika ditemui selepas perasmian Kempen Kawalan Tikus 2013 di Lebuh India, semalam.
Kempen tersebut merupakan aktiviti perdana yang dianjurkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan di seluruh negara bertujuan untuk mengekang penularan penyakit kencing tikus (leptospirosis) sejajar dengan hasrat kerajaan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menanganinya.
Menurut Abang Wahap, projek bumbung Lebuh India bertujuan untuk memberi kemudahan kepada para pengunjung di situ bagi mengelak cuaca panas dan hujan.
“Projek pembinaan bumbung di sepanjang Lebuh India akan menelan belanja sebanyak RM4.3 juta.
“Ia akan dibina di sepanjang Lebuh India iaitu kirakira 200 meter yang menyerupai Lebuh Petaling di Kuala Lumpur,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu sidang media mengenai projek tersebut akan diadakan tidak lama lagi bagi menjelaskan secara terperinci kepada orang ramai mengenai cadangan dan reka bentuk projek itu nanti.