SANDAKAN: Seorang pelajar maut manakala lima cedera parah dan 15 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van sekolah yang bertembung dengan sebuah lori muatan simen dalam kejadian berhampiran simpang Ulu Dusun di Batu 31 Jalan Labuk, di sini tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa yang maut adalah pelajar lelaki dikenali sebagai Eddy Wallfired Eleazer Benjasor Hendry, 13, yang duduk di bahagian hadapan tempat penumpang.
“Tiga mangsa yang parah dihantar ke Hospital Duchess of Kent manakala dua lagi mangsa yang parah dan semua yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk rawatan.
“Semua mangsa yang cedera kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Rowell berkata ketika kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, lori muatan simen itu bergerak dari arah Sandakan ke Lahad Datu manakala van sekolah yang membawa para pelajar sekolah berumur 13 hingga 16 tahun dari SMK Segaliud itu dalam perjalanan ke Batu 30.
“Bas sekolah berkenaan mengangkut seramai 13 pelajar SMK Segaliud dan tujuh orang lagi murid dari Sekolah Kebangsaan Ulu Dusun,” katanya sambil menambah, pemandu van terbabit mengalami patah tulang.
Walau bagaimanapun, Rowell memberitahu pemandu lori berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kemalangan terbabit.