MIRI: Dua pekerja sebuah kedai serbaneka berdepan detik cemas apabila hampir keseluruhan dinding kaca hadapan premis pecah selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian yang berlaku di Pusat Komersil Boulevard di sini, awal pagi semalam.
Menurut sumber, ketika kejadian sekitar jam 5.50 pagi itu, beberapa pekerja kedai terbabit sedang sibuk mengemas barang.
Tiba-tiba mereka terdengar bunyi kaca pecah dan serentak itu ternampak bahagian hadapan sebuah kereta jenis Toyota Camry tersadai di hadapan kedai.
Terdahulu, pemandu kereta terbabit yang berusia lingkungan 50-an telah memberhentikan kenderaannya di hadapan kedai serbaneka tersebut yang beroperasi 24 jam untuk membeli rokok.
Bagaimanapun, sekembalinya ke dalam kereta dan sebaik enjin hidupkan, keretanya terus meluru ke hadapan dan melanggar dinding premis yang diperbuat daripada kaca menyebabkan hampir keseluruhannya pecah berderai.
Kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada pemandu terbabit yang silap memasukkan gear hingga menyebabkan keretanya meluru secara tiba-tiba.
Sepasukan polis trafik bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan sebaik dimaklumkan tentang insiden tersebut.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.