KUCHING: Dua pemain kriket remaja Persatuan Kriket Sarawak (PKS) telah dipilih untuk menyertai latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur (SSBJ) bermula Ogos ini.
Pelajar terbabit Mohd Iqmal Gabin dari SMK Seri Setia dan Phil Mackenzie dari SMK STAR berjaya menambat hati Persatuan Kriket Malaysia (PKM) setelah memperagakan aksi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan peringkat kebangsaan sebelum ini.
Kedua-dua pelajar tingkatan satu itu telah berlepas pada Ahad lepas akan mula mengikuti latihan dan meneruskan pengajian bermula Ogos ini.
Setiausaha Agung PKS Gordon Chung melahirkan rasa gembira dan bangga dengan pemilihan kedua-dua atlet itu untuk menyertai kem latihan di SSBJ.
“Ini adalah peluang terbaik bagi kedua pemain berkenaan mengasah bakat mereka selain menimba seberapa banyak pengalaman.
“Harapan saya agar penyertaan kedua atlet kita ini di SSBJ akan memberi inspirasi kepada pemain remaja lain meningkatkan lagi usaha mereka,” jelas beliau.
Gordon turut berharap pemain bawah 12 tahun negeri akan mendapat peluang yang sama di masa akan datang.
“Namun, yang pasti mereka perlu menunjukkan kesungguhan dalam latihan serta mempamerkan bakat sebenar di setiap kejohanan yang mereka sertai,” ujarnya.
Iqmal adalah anak didik jurulatih dan pengerusi teknikal kriket SK Tabuan Hilir Abdul Rahman Ibrahim manakala Phil yang juga bekas pelajar SK Gita 2 mendapat tunjuk ajar dari jurulatih Francis Vitilingam.
Sementara itu, Abdul Rahman merasa bersyukur kerana pemain negeri kembali diberi kepercayaan untuk menyertai SSBJ sejak 2006.
Pada 2006, Said Mohd Alimin dan Zacky Paul telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran mereka di SSBJ dan selepas itu Sarawak tidak menghantar pelajar sehinggalah pada tahun ini.
Sebaik menamatkan pengajian, Said telah dilamar oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bermain bersama pasukan tersebut.