Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Pembinaan Hospital Petra Jaya lancar: Fadillah

$
0
0

BAKAL SIAP: Gambar Klinik Kesihatan Kelas 2 yang akan menampung keperluan rakyat di Petra Jaya yang hampir siap.

KUCHING: Kenyataan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri See Chee How yang mendakwa terdapat kelewatan dalam pembinaan Hospital Petra Jaya hanya bersifat populis.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof yang menyangkal dakwaan itu menjelaskan bahawa projek pembinaan Hospital Petra Jaya itu kini sedang berjalan lancar.

Menurut Menteri Kerja Raya itu, kontrak bagi projek Kementerian Kesihatan itu diberikan kepada Zecon Sdn Bhd pada April lalu dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Wakil rakyat PKR cuba mencari publisiti murahan dan menumpang nama terhadap semua perkara baik yang dilakukan dan diperjuangkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk penduduk Petra Jaya selama ini dan menyedari bahawa projek itu sudah pun berjalan,” katanya melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, kelmarin.

Tambah beliau, kontrak bagi membina hospital berkenaan, yang mampu memuatkan 300 katil dan bernilai RM495 juta diberikan Kementerian Kesihatan kepada Zecon Sdn Bhd, lebih dua tahun selepas syarikat berkenaan menerima surat niat (letter of intent) daripada Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan projek itu menggunakan konsep mereka bentuk dan membina.

Sehubungan itu kata beliau, ADUN Batu Lintang itu seharusnya mengelak daripada membuat kenyataan yang tidak bersandarkan fakta sebenar.

Malah sebagai Ahli Parlimen Petra Jaya dan Menteri Kerja Raya ujar Fadillah, beliau secara peribadi akan memantau secara rapi projek berkenaan kerana menyedari betapa penduduk kawasan berkenaan mahu beliau memperjuangkan projek untuk mereka itu sejak pertama menjadi wakil rakyat di Petra Jaya.

“Ada pihak nampaknya hanya mahu menggunakan pendekatan populis.

“Saya sudah lama mengenal pasti segala keperluan di Petra Jaya dan membawanya ke Parlimen.

“Saya gembira akhirnya projek itu diluluskan selepas ‘follow up’ secara berterusan dengan agensi pusat dan kini projek sudah berjalan,” tegasnya.

Berhubung dakwaan wakil rakyat PKR itu lagi bahawa tiada klinik di Petra Jaya, sekali lagi kata Fadillah ia menunjukkan kejahilannya terhadap perjuangan kerajaan untuk rakyat.

Katanya, terdapat Klinik Kesihatan Kelas 2 di Jalan Siol Kanan dekat Masjid Jamek di Petra Jaya, yang dijangka siap pada November tahun ini.

Pada Selasa lepas, Chee How menggesa Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan Hospital Petra Jaya bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan bahagian Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan beroperasi sepenuhnya secepat mungkin.

“Saya juga berasa hairan kerana tiada langsung poliklinik yang disediakan di kawasan Petra Jaya selama ini termasuk kelewatan pembinaan Hospital Petra Jaya memandangkan sokongan padu penduduk di situ terhadap Barisan Nasional (BN),” kata Chee How.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>