KUCHING: Para perwakilan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Ke-5 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak sebulat suara memohon kerajaan negeri terutama syarikat berkaitannya menghormati hak mereka menyertai kesatuan sekerja dan terlibat aktif dalam aktiviti.
Setiausaha MTUC Sarawak Andrew Lo berkata beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri tidak menjalinkan kerjasama dengan kesatuan sekerja.
“Segelintir pengurus sumber manusia di syarikat-syarikat ini tidak menyedari dengan mempunyai kesatuan sekerja yang efektif dan bertanggungjawab dalam organisasi mereka akan mendatangkan manfaat kepada pihak berkepentingan, termasuk kerajaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini, semalam.
Menurutnya, ada syarikat yang menegur kesatuan kerana membela kebajikan ahli.
Tindakan itu jelasnya mungkin bertentangan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memandangkan standard tenaga kerja juga merangkumi perbincangan mengenainya.
Resolusi itu dipersetujui oleh 70 perwakilan yang mewakili 31 kesatuan di seluruh Sarawak pada TDC MTUC Sarawak pada 21 Ogos di Lundu.
Persidangan itu dirasmikan Pengarah Kesatuan Sekerja Sarawak Jamilah Putit.
Mohd Ibrahim Hamid daripada Kesatuan Sekerja Telekom Sarawak (UTES) dan Andrew Lo daripada Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) dipilih semula.