Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Batalkan lesen usaha jadikan jalan selamat

$
0
0

KUCHING: Orang ramai tidak seharusnya mempersoalkan tindakan polis membatalkan lesen memandu individu liat membayar saman kesalahan trafik sebaliknya melihat ia sebagai antara usaha menjadikan jalan raya  tempat yang selamat untuk semua pihak.

Penganalisis jenayah terkenal negara  Kamal Affandi Hashim berkata orang yang berpendapat tindakan polis itu tidak wajar seharusnya berterima kasih kerana melalui penguatkuasaan seperti itu baharulah seseorang pemandu itu mahu dan mula berubah.

“Ramai orang tidak faham Ops Selamat adalah satu pemantauan dan salah satu tugas kepolisan adalah mengawal jenayah, kerana ia (Ops Selamat) tidak berkesan ke arah itu maka penguatkuasaan seperti ini mesti dilakukan.

“Kita ibaratkan seorang bapa beri peringatan kepada seorang anak yang keluar rumah malam, yakni mesti balik rumah sebelum jam 10 malam, dan kalau anak itu balik lebih awal atau tepat jam 10 malam kita tak rotan tetapi kalau anak itu balik lebih jam 10 malam, maka anak itu perlu dipukul,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kamal menambah, dalam hal ini sikap pemandu menyumbang kepada masalah itu, kedegilan dan keegoaan untuk mengaku kesalahan serta mematuhi peraturan jalan raya.

“Oleh itu lebih baik penguatkuasaan ini dilaksanakan kerana menerusi langkah ini diharap pembuli jalanan dan orang yang tidak layak memandu dapat diminimumkan. Jadi jalan kita lebih selamat.

“Kalau rakyat mahukan polis dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tugas mereka mengikut undang-undang serta peraturan negara, kita rakyat juga perlu mematuhi undang-undang dan peraturan negara,” ujarnya.

Beliau berkata salah satu syarat menjadi pemandu ialah mematuhi semua undang-undang dan akta dikuatkuasakan kerana itu sememangnya tanggungjawab sebagai seorang pemandu sebenar.

Menurutnya kos keseluruhan pengurusan bagi  satu kes bermula pengeluaran saman, waran dikeluarkan dan seterusnya melibatkan perkhidmatan mahkamah sangat tinggi.

“Jika seseorang itu terlibat dalam satu kes melibatkan polis seterusnya mahkamah dan disabit salah sehingga didenda atau dipenjara sekurang-kurangnya enam bulan atau kedua-duanya kos keseluruhan mengurus sangat tinggi. Itu satu pembaziran hanya kerana enggan membayar saman,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya tindakan membatalkan lesen merupakan satu kaedah yang sesuai kerana sebelum ini sistem ‘Kejara’ dilaksanakan yakni mata demerit kepada pengguna jalan raya melakukan kesalahan trafik.

“Jadi ini adalah satu bentuk penguatkuasaan menyedari pemandu akan menyedari perbuatan salah mereka dan tidak mengulanginya lagi.

“Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) melaksanakan perkara ini berlandaskan akta dan undang-undang sedia ada,” katanya.

Kelmarin, Bernama melaporkan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata seramai 1.7 juta individu yang disenaraihitamkan kerana degil membayar saman trafik bakal berdepan tindakan lesen memandu dibatalkan.

Beliau berkata tindakan itu akan ditumpukan kepada penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersial yang banyak menyumbang kepada jumlah kemalangan maut pada Ops Selamat III sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Katanya polis akan mencadangkan undang-undang dipinda segera bagi membolehkan tindakan itu diambil dengan secepat mungkin.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>