![]()
KEBANGGAAN WANITA SARAWAK: Fatimah menunjukkan Kek Lapis Sarawak semasa melawat salah sebuah gerai di tapak jualan di Kampung Gersik pada program Pelayaran Wanita Sarawak, Menyusuri Denai Kemerdekaan di Kuching, semalam. Turut kelihatan Rosey (dua kanan) dan Dr Abdul Rahman (dua kiri). — Gambar Jeffery Mostapha
Pelayaran menyusuri Sungai Sarawak simbolik kemampuan lakar kejayaan cemerlang
KUCHING: Pelayaran Wanita Sarawak, Menyusuri Denai Kemerdekaan menggambarkan secara simbolik titik-titik perjuangan wanita Sarawak selama 50 tahun Sarawak merdeka di dalam Malaysia.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, program pelayaran itu turut menggambarkan mercu tanda kemajuan dan puncak pencapaian wanita di negeri ini, meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.
“Dengan berbekalkan iltizam yang tinggi dan melalui sistem sokongan sosial yang kukuh, wanita Sarawak diyakini mampu mencipta nama, merealisasikan impian dan melakar sejarah yang cemerlang.
“Meskipun mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan, namun ia bukanlah tembok penghalang yang menghambat usaha kaum wanita untuk menggapai impian dan cita-cita murni,” ujar Fatimah ketika mengalu-alukan para peserta di pontun Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebelum menaiki kapal persiaran menyusuri Sungai Sarawak sempena sambutan Hari Wanita 2013, semalam.
Seramai 170 wanita dari pelbagai latar belakang dan kerjaya sama ada sektor awam atau swasta yang berbilang kaum etnik dan pelbagai peringkat usia menyertai pelayaran tersebut menaiki kapal persiaran Sayang Sarawak yang turut dihadiri Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus.
Pelayaran melibatkan persinggahan di Kampung Gersik untuk melawat tapak jualan pengusaha Kek Lapis Sarawak dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi sebelum menuju ke lokasi utama, Astana Negeri bagi mengunjungi Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.
Menurut Fatimah, persinggahan di Kampung Gersik secara simbolik melambangkan titik pembangunan wanita Sarawak dalam bidang keusahawanan dan menzahirkan sumbangan golongan wanita kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negeri dan negara.
“Perusahaan Kek Lapis Sarawak sengaja dipilih sebagai contoh untuk mewakili kegiatan keusahawanan kaum wanita setelah menyedari perusahaan ini semakin berkembang dan dikenali bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan, malah di peringkat antarabangsa.
“Ia juga dipilih secara sedar bagi melambangkan kreativiti dan daya inovatif kaum wanita di Sarawak yang semakin berani dalam bidang keusahawanan,” jelas Fatimah.
Selain itu, katanya, ia juga menggambarkan dengan penuh bermakna kebijaksanaan wanita Sarawak melakar kejayaan cemerlang, bukan sahaja dalam kerjaya malah kemampuan menguruskan rumah tangga serta memainkan peranan sebagai isteri dan ibu.
“Keadaan ini sudah tentu akan mengangkat martabat kaum wanita sebagai pemangkin usaha seimbang dan bersepadu dalam membentuk dan melahirkan modal insan yang berkualiti.
“Di samping itu, persinggahan utama di Astana Negeri melambangkan penerimaan rakyat terhadap institusi kepimpinan,” jelas Fatimah.
Menurutnya, walaupun proses pemodenan kini begitu pesat, namun sistem sokongan sosial berpusatkan masyarakat masih relevan dan penting dalam usaha menyediakan persekitaran sosiobudaya yang kondusif untuk pembangunan wanita Sarawak masa kini.
“Sehubungan ini, kerjasama serta persefahaman antara kaum lelaki dan wanita adalah perlu dan harus dipupuk secara bijaksana,” tambahnya.