Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 47228 articles
Browse latest View live

Projek getah berhasil tinggi untuk Penan Murum

$
0
0

UNTUK KENANGAN: Jabu (tengah) bersama tetamu kehormat lain bergambar kenangan dengan peserta Kursus Pertanian Penempatan Semula Murum di Kuching, semalam.

Komponen tersebut akan menjadi teras kepada punca pendapatan penduduk penempatan semula Murum

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang merancang untuk melibatkan penduduk penempatan semula Murum dengan projek penanaman getah berhasil tinggi.

Menurut beliau, komponen tersebut akan menjadi teras kepada punca pendapatan penduduk.

Jelas Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian projek tersebut telah dimulakan di penempatan semula kaum Penan di Long Beruang, Ulu Baram melibatkan 70 keluarga dan diyakini berupaya memberi pendapatan lumayan.

“Satu projek yang saya lihat akan menjadi komponen bagi kaum Penan di penempatan semula Murum adalah penanaman getah berhasil tinggi.

“Jika ada permohonan nanti, kita akan membawa mereka melawat ke tempat projek di Long Beruang pada tahun depan untuk mereka melihat sendiri pengalaman kaum Penan di situ mengusahakan tanaman getah tersebut,” katanya pada penutupan Kursus Pertanian Penempatan Semula Murum di sini, semalam.

Selain itu, Jabu berkata, beliau akan berusaha memperhebatkan latihan dari segi pertanian tanaman atau ternakan kepada penduduk tersebut.

“Saya mahu memberi seberapa banyak ruang kepada masyarakat Penan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Mereka mempunyai kawasan yang berpotensi untuk menjana pendapatan misalnya menerusi tanaman sayuran atau penternakan ikan, ayam dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, di samping sosioekonomi penduduk, Jabu berkata kerajaan negeri turut memastikan anak-anak kaum Penan di situ tidak tercicir dalam pelajaran.

“Untuk itu, kerajaan akan menyediakan sebuah sekolah untuk anak-anak kaum Penan yang dipindahkan ke Tegulang dan Metalun,” katanya.

Kini kata Jabu kebajikan pelajaran kanak-kanak kaum Penan telah terpelihara dengan tertubuhnya sistem K9 di SK Long Bedian.

Katanya hampir 70 peratus pelajar yang menuntut di situ terdiri daripada anak-anak kaum Penan.

“Sistem ini telah membawa banyak kebaikan kepada Sarawak lebih-lebih lagi kepada kaum Penan di mana anak-anak mereka telah berpeluang mengikuti pelajaran sehingga ke sekolah menengah,” katanya.

K9, SK Long Bedian merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak masyarakat Penan yang bermastautin di kawasan terpencil untuk meneruskan pelajaran sehingga ke sekolah menengah iaitu dari tahun satu hingga tingkatan tiga.

Ia sekali gus menangani masalah di mana dahulunya, anak-anak kaum Penan yang tamat darjah enam sukar untuk menyambung pelajaran ke peringkat sekolah menengah kerana kedudukan mereka yang jauh.


Perpindahan suntik semangat generasi muda Penan Murum

$
0
0

KUCHING: Perpindahan ke penempatan semula memberikan semangat baharu khususnya kepada generasi muda kaum Penan yang terjejas akibat Projek Hidroelektrik Murum.

Hasrat yang dinyatakan segelintir daripada mereka ialah menginginkan kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya yang bergantung hidup sepenuhnya dengan sumber alam.

Justeru, semangat untuk mengecapi kemajuan dalam hidup itu telah menarik minat 25 belia Penan yang terdiri daripada 17 lelaki dan lapan wanita untuk mengikuti Kursus Pertanian Penempatan Semula Murum yang diadakan di sini mulai 19 Ogos hingga 11 September.

Para peserta tersebut berasal dari lima rumah panjang di Murum iaitu Long Luar, Long Wat, Long Menapa, Long Tangau dan Long Singu.

Bagi seorang peserta wanita Saloma Udi, 21, kehidupan di tempat baharu kelak yang pastinya dilengkapi dengan kemudahan akan dimanfaatkannya untuk memajukan taraf hidup keluarganya.

“Harapan saya di tempat tinggal baharu ialah ingin melihat anak serta adik-beradik saya bersekolah,” kata ibu beranak satu itu yang juga tidak pernah merasai alam persekolahan ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, Saloma yang berasal dari Long Menapa turut menyuarakan hasratnya untuk menjadi seorang usahawan pertanian yang berjaya.

“Saya gembira kerana dapat menyertai kursus ini dan akan memanfaatkan pengalaman serta kemahiran yang diajar untuk mencari pendapatan di tempat tinggal baharu kelak,” katanya sambil memberitahu di kampung asalnya, mereka bergantung hidup dengan hasil haiwan buruan, tangkapan ikan serta sayuran hutan.

Sementara, seorang peserta lelaki Steven Mutui, 21, dari Long Luar berharap kebajikan mereka di penempatan baharu akan terus dijaga dan dipelihara.

“Kami telah berkorban rumah, tanah dan tanaman yang selama ini menjadi harapan kami untuk bergantung hidup.

“Untuk itu, saya berharap agar kerajaan terus membantu kami terutama bagi generasi muda yang turut inginkan kemajuan hidup,” katanya yang turut ditemu bual.

Justeru, Steven selaku penghulu peserta menerusi ucapannya menyuarakan agar lebih banyak lagi inisiatif pengembangan ilmu didedahkan kepada mereka.

“Kursus pertanian seperti ini telah memberi banyak pengetahuan kepada kami.

“Saya yakin kami mampu menjadikan aktiviti pertanian ini sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Hadir menyempurnakan Kursus Pertanian Penempatan Semula Murum yang diadakan di Institut Pertanian Sarawak di sini ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Yang di-Pertuan Agong berkenan hadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa

$
0
0

JABU

KUCHING:Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Permaisuri Agong berkenan menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Padang Merdeka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata turut mengesahkan kehadiran pada acara kemuncak sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang di-Pertuan Agong akan tiba di Kuching pada pagi 15 September 2013 (Ahad) dan pada sebelah malamnya baginda bersama permaisuri dan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama rakyat menyaksikan pertunjukan kapal berhias di Sungai Sarawak.

“Manakala pada sebelah pagi keesokan harinya iaitu 16 September baginda akan menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa yang turut dihadiri tetamu-tetamu kehormat lain,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Bapa Malaysia dekat sini semalam.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pemodenan Pertanian berkata pada istiadat perbarisan itu nanti sebanyak 63 kontinjen termasuk badan beruniform akan mengambil bahagian selain pertunjukkan lintas udara oleh Angkatan Tentera Malaysia menggunakan pesawat Nuri dan jet Sukhoi.

Beliau berkata sambutan kemuncak Hari Malaysia di Sarawak bermula dengan sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada 14 September ini (Sabtu) di Stadium Negeri.

“Ini tidak bermakna sambutan tahun ini yang bertema ‘Sarawak Harmoni, Kemakmuran Dinikmati’ hanya disambut di bahagian Kuching, sebaliknya ia akan dipanjangkan ke peringkat bahagian dan daerah.

“Ini penting bagi membolehkan rakyat di kawasan luar bandar atau pedalaman negeri ini turut sama meraikan sambutan ulang tahun ke-50 Sarawak menyertai Malaysia,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu bahawa Sarawak akan memberi perhatian khusus kepada sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun kerana ia tarikh yang sangat signifikan kepada pencapaian negeri ini sejak 50 tahun lalu.

Menurutnya tarikh 16 September sangat penting untuk diperingati khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini hidup aman dan makmur hasil perjuangan 50 tahun lalu.

Generasi muda katanya tidak boleh memandang ringan terhadap pencapaian serta kemakmuran Sarawak selama ini kerana ia bukannya datang bergolek begitu sahaja tetapi menerusi pengorbanan serta perjuangan generasi terdahulu.

“Hargailah kemerdekaan yang dikecapi hari ini, ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ramai nyawa terkorban dan perjuangan tanpa penat pemimpin serta generasi terdahulu.

“Lihatlah negara yang bergolak hari ini, Syria misalnya akibat pergolakan politik dan kerakusan pihak tertentu, rakyatnya menjadi mangsa.

“Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku di Malaysia dan Sarawak,” ujarnya.

Kepimpinan Islam diterima kerana bukan Islam yakin pimpinan orang Islam adil

$
0
0

LAWATAN KERJA: Daud merakam kenangan bersama rombongan Jabatan Mufti Negeri Selangor di kediamannya malam kelmarin.

KUCHING: Kepimpinan Islam diterima di negeri Sarawak kerana masyarakat bukan Islam menghormati dan yakin pimpinan orang Islam adalah adil dan saksama.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, selama 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia, negeri ini dipimpin oleh pemimpin Islam sejak 42 tahun lepas.

“Kepimpinan Islam diterima oleh masyarakat bukan Islam secara sukarela kerana yakin pimpinan Islam adalah adil dan bertangungjawab,” ujar Daud ketika menerima lawatan kerja daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor di kediamannya di Jalan Matang Baru malam kelmarin.

Hadir pada majlis tersebut untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak ialah Mufti Sarawak Ustaz Kifli Yassin dan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Majlis tersebut turut diadakan sempena perpisahan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Abdul Hamid Mohamed Salleh yang akan bertugas di Putrajaya nanti.

Menurut Daud, masyarakat Islam mendapat penghormatan tersebut kerana masyarakat Islam menunjukkan perpaduan yang begitu baik sekali yang boleh dilihat melalui keputusan pilihan raya negeri dan Parlimen yang memihak kepada parti yang majoritinya mewakili masyarakat Islam iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Namun begitu, tanpa kerjasama dan sokongan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, perpaduan tersebut tidak mungkin dapat dicapai.

“Sebagai contoh, wakil-wakil rakyat di kawasan bukan Islam turut memohon agar dibina masjid atau surau di kawasan mereka yang mempunyai penduduk Islam yang merupakan senario yang begitu unik yang hanya boleh didapati di negeri Sarawak,” tambah Daud.

Daud berkata walaupun cara pengendalian negeri Sarawak dalam agama Islam amat berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, namun yang penting ialah keikhlasan sesebuah masyarakat yang dibalas dengan keikhlasan daripada masyarakat lain yang menunjukkan kepercayaan antara satu sama lain.

“Kita mengakui cara negeri Sarawak mengendalikan agama Islam adalah begitu berbeza sekali dengan negeri-negeri lain kerana keunikannya dan kebanyakan isu yang berlaku di negeri lain langsung tidak relevan dengan negeri ini.

“Paling penting kita kendalikan agama Islam secara berhemah dan bukannya memberi kesangsian kepada masyarakat bukan Islam,” tambah Daud.

Beliau memberitahu, ia dibuktikan melalui pembinaan Pusat Penerangan Islam di mana reka bentuk bangunan-bangunannya melambangkan setiap masyarakat di negeri ini yang menunjukkan agama Islam adalah relevan untuk semua masyarakat.

“Ia dibina bukan untuk mengislamkan masyarakat bukan Islam tetapi untuk memberi penerangan kepada mereka malah sebanyak 35 peratus penggunaan pusat tersebut adalah daripada masyarakat bukan Islam yang menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan.

Rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia tiba di bandar Sri Aman

$
0
0

SRI AMAN: Sepuluh penunggang basikal serta empat kru logistik yang menjayakan Kayuhan Merdeka 1Malaysia tiba di bandar Sri Aman petang semalam, setelah melakukan perjalanan sejauh 1,100 kilometer dari Lawas pada 1 September lalu.

Rombongan penunggang basikal itu meluangkan masa selama sejam di Pusat Rehat dan Rekreasi Temudok dan ketibaan mereka disambut Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman Zaidi Sarkawi dan para kakitangan kerajaan di Sri Aman.

Kemudian rombongan itu memulakan perjalanan berbasikal menuju ke pusat bandar Sri Aman pada jam 3 petang sambil diiringi kumpulan permotoran Sri Aman.

Ketua Rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia Datuk Mohd Kepli Ahmad berkata, para peserta hanya menghadapi masalah kecil dari segi logistik dan mental sepanjang aktiviti berbasikal itu.

Mereka akan meneruskan perjalanan dari Sri Aman menuju ke Gedong pada 13 September ini, ujarnya.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dijangka menyempurnakan upacara pelepasan mereka dari Gedong menuju ke Serian pada 15 September depan.

“Mula dari Serian kami seterusnya akan menyambung perjalanan menuju ke Kuching sambil diiringi seramai 100 hingga 200 peserta berbasikal sebelum tiba di sana pada jam 4 petang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Rehat dan Rekreasi Temudok di sini, semalam.

Sementara itu rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia ini mempunyai seorang peserta perempuan termuda berusia 16 tahun manakala peserta tertua pula lelaki berumur 63 tahun.

Rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia ini dijangka tiba di Padang Merdeka, Kuching pada 16 September bagi sama-sama menyerikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.

“Secara keseluruhannya kami berasa berpuas hati terhadap sambutan yang ditonjolkan oleh para penduduk dan agensi kerajaan ketika menyambut ketibaan rombongan kami ketika ini,” katanya.

Sebelum ini rombongan berkenaan turut singgah di Brunei pada 1 September, kemudian di Lawas dan Miri (2 September), Batu Niah (3 September), Bintulu (4 September), Mukah (6 September), Sibu (8 September) dan Saratok (9 September).

Pelajar Bumiputera cemerlang diberi manfaat pendidikan

$
0
0

REBUT PELUANG: Entulu pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat PRS di Kuching, semalam.

Antaranya manfaat mendapatkan biasiswa melanjutkan pengajian sama ada di dalam mahupun di luar negeri
KUCHING: Pelajar Bumiputera cemerlang khasnya dari kawasan luar bandar negeri ini disarankan untuk mengemukakan nama kepada pihak berkaitan supaya tidak ketinggalan untuk menikmati manfaat pendidikan disediakan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, antaranya manfaat dari segi mendapatkan biasiswa melanjutkan pengajian sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

Beliau berkata berdasarkan data statistik yang ada, Sabah dan Sarawak didapati masih mempunyai banyak peruntukan dalam kuota yang ditetapkan bagi mengisi manfaat itu termasuk Biasiswa Ijazah Luar Negeri dan Ijazah Dalam Negeri.

“Kita mahu pelajar-pelajar Bumiputera iaitu mereka dari luar bandar yang cemerlang dan berkelayakan menghubungi serta tampil kepada pihak berkaitan termasuk Biro Pendidikan Parti Rakyat Sarawak (PRS) 30 atau pertubuhan bukan kerajaan berasaskan Dayak.

“PRS telah menubuhkan biro ini yang akan meneliti dengan serius mengenai perkara berkenaan dan antara mereka yang berada dalam biro ini adalah Yang Berhormat Liwan Lagang, Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong dan Lydia Dundun (ketua biro),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat PRS di sini, semalam.

Tambah timbalan presiden PRS itu, misalnya bagi program Ijazah Luar Negeri, sepatutnya Sabah dan Sarawak diperuntukkan 10 peratus daripada 2,000 biasiswa yang disediakan setiap tahun iaitu sekurang-kurangnya 200 kuota.

Beliau menegaskan daripada jumlah kuota yang ditetapkan bagaimanapun hanya 110 daripadanya diisi pada 2008 di mana 90 lagi tidak diisi manakala bagi program Ijazah Dalam Negeri sebanyak 1,000 kekosongan khas untuk Sabah dan Sarawak setiap tahun.

“Bagaimanapun pada 2008 menyaksikan hanya 479 sahaja yang diisi yang bermakna kita masih ada lebih 500 tidak diambil, pada 2009 hanya 402 sahaja diisi dan sekali lagi lebih 500 masih tinggal,” katanya.

Malahan daripada jumlah itu ujarnya, ia menunjukkan juga kekurangan pengisian daripada pelajar luar bandar yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa yang disediakan kerajaan.

“Adalah amat menyedihkan kita kehilangan daripada peluang ini, di mana masih ada kekosongan yang boleh kita gunakan tetapi tidak diisi,” kata Entulu.

Kerajaan jelasnya sentiasa menyediakan dasar yang sama rata termasuk dari segi pendidikan kepada semua golongan, malah kabinet persekutuan telah meluluskan Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa antara lain bertujuan membincangkan pelaksanaan dasar dan prestasi pembangunan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak serta membuat keputusan mengenai polisi-polisi berkaitan masyarakat itu.

Sehubungan itu Presiden PRS Tan Sri James Masing menyuarakan kebimbangan berhubung kuota tahunan bagi biasiswa pendidikan tempatan dan luar negeri untuk pelajar cemerlang di Sarawak yang sentiasa tidak pernah diisi sepenuhnya.

Beliau berkata, peluang yang begitu baik sebenarnya disediakan setiap tahun untuk pelajar cemerlang bagaimanapun kuota itu tidak diisi sepenuhnya.

“Kita ada peluang untuk meningkatkan prestasi pelajar Sarawak dalam pendidikan sama ada menerusi biasiswa tempatan atau luar negara tetapi masalahnya ialah kita selalu kekurangan (pelajar),” katanya.

Beberapa pengusaha restoran di Miri kenakan caj tambahan kepada pelanggan

$
0
0

MIRI: Kenaikan harga petrol baru-baru ini telah menyebabkan beberapa pengusaha restoran di sini bertindak mengenakan caj tambahan kepada pelanggan secara sesuka hati.

Seorang pengadu memberitahu, dia terkejut apabila dikenakan caj tambahan menerusi caj bekas makanan (styroform) atau bekas plastik jika membawa pulang makanan yang dibeli.

“Caj yang dikenakan antara 0.20 sen hingga 0.40 sen setiap satu bekas makanan dan ia dikenakan terhadap pelanggan yang membeli makanan untuk dibawa pulang tanpa dimaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Pengadu menjelaskan, caj berkenaan sememangnya tidak wajar dikenakan terhadap pelanggan bahkan perbuatan sedemikian seolah-olah pihak pengusaha restoran terbabit terdesak untuk mencari keuntungan lebih.

“Agensi kerajaan berkaitan diminta turun padang dan menyiasat tindakan segelintir pengusaha restoran yang mengenakan caj tambahan kepada pelanggan menerusi caj bekas makanan plastik atau styroform,” jelasnya.

Pengadu turut memberitahu, salah sebuah restoran makanan di Permyjaya telah dikesan mengenakan caj tambahan terhadap pelanggan dan ia turut dilaporkan berlaku di beberapa restoran berlainan.

Dalam masa sama, beliau memberitahu bahawa pihak pengusaha restoran juga tidak seharusnya menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati hanya dengan alasan kenaikan harga petrol baru-baru ini.

“Harga yang diletakkan dalam menu adalah berlainan manakala harga semasa membuat pembayaran pula menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Ia menunjukkan berlaku penyelewengan dalam meletakkan harga makanan serta minuman, dan menjadi bukti kukuh bahawa pengusaha restoran mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman,” katanya.

Sehubungan itu kata pengadu, mana-mana pelanggan yang mengalami pengalaman yang sama harus menggunakan hak pengguna dengan memboikot restoran makanan terbabit.

Dakwaan Global Witness tak berasas: Awg Tengah

$
0
0

KUCHING: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menepis dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Global Witness yang menyatakan bahawa Sarawak mengeksport balak diperolehi secara haram ke Jepun.

Dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak berasas sama sekali katanya, melainkan NGO tersebut mempunyai bukti.

“Saya rasa perkara itu tidak wujud kerana prosedur kita (kerajaan) amat ketat di mana kita hanya mengeluarkan permit (pembalakan) setelah menjalani pemeriksaan dan siasatan juga dilakukan secara ketat oleh agensi-agensi kita.

“Bagi saya, ia sekadar dakwaan… melainkan mereka dapat membuktikannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Rundingan & Taklimat dan Go-Export di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan portal berita atas talian mengenai syarikat Jepun membeli balak haram dari hutan hujan yang diancam bahaya di Sarawak dan mendapat kelulusan ‘sah’ di bawah skim yang disokong kerajaan.

Global Witness dalam laporan terkini tersebut mendedahkan dua syarikat Jepun telah membeli balak daripada dua syarikat terbesar di Sarawak iaitu yang didakwa terlibat dalam ‘pembalakan haram sistematik dan merosakkan’.

Sementara itu, Awang Tengah memberitahu, nilai eksport balak Sarawak kebelakangan ini secara purata mencapai sekurang-kurangnya RM7.4 bilion.

Kerajaan katanya, akan terus menggerakkan misi-misi perdagangan, selain pasaran tradisional seperti Korea, Jepun, India, ke negara Eropah Timur dan Asia Barat.

Menurut beliau, satu misi perdagangan akan diadakan ke Kazakhstan tahun depan selepas negara itu menyatakan minatnya terhadap kayu dan produk kayu termasuk perabot keluaran Sarawak semasa pertemuan di antara beliau dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan Perdana Menteri negara itu baru-baru ini.

“Mereka (Kazakhstan) mahu kita menganjurkan misi perdagangan agar hubungan bilateral dapat diperkukuhkan antara negara,” katanya.


Kemasukan pelaburan ke Sarawak meningkat

$
0
0

PERKUKUH EKONOMI: Hamim menyampaikan cenderamata kepada Awang Tengah sebagai tanda kenang-kenangan ketika menyempurnakan Program Taklimat dan Rundingan dan Go-Export, semalam.

Terima pelaburan RM4.3 bilion Januari hingga Jun 2013 berbanding RM4.7 bilion sepanjang 2012
KUCHING: Sarawak terus menerima pelaburan bernilai tinggi dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini iaitu sebanyak RM4.3 bilion berbanding RM4.7 bilion untuk keseluruhan 2012.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi memenuhi permintaan para pelabur yang semakin ramai di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Hab Halal Tanjung Manis, kerajaan akan terus memperkukuhkan kemudahan asas dan kapasiti tenaga.

Meskipun pelaburan yang rata-rata industri intensif tenaga itu diyakini terus meningkat katanya, namun kapasiti Sarawak untuk menyediakan keperluan tenaga masih dikhuatiri belum memadai.

“Kita mempunyai keyakinan tinggi pelaburan ini akan terus meningkat, cuma dikhuatiri dari segi kapasiti untuk menyediakan keperluan tenaga.

“Kebanyakan pelaburan diterima adalah daripada industri intensif tenaga iaitu SCORE dan seperti anda sedia maklum, kebanyakan tenaga dijana oleh Bakun kerana projek Empangan Hidroelektrik Murum hanya siap pada lewat 2014 atau awal 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Taklimat dan Rundingan dan Go-Export di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua memberitahu, projek bekalan air bersih akan dilaksanakan di Hab Halal Tanjung Manis bagi menyelesaikan masalah bekalan tidak mencukupi.

Projek fasa pertama itu yang akan mengeluarkan 125 megaliter sehari (MLD) bukan sahaja untuk keperluan semasa malah untuk menampung bakal pelabur katanya, dijangka siap selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Jadi semua ini sebenarnya bergantung kepada keupayaan kita untuk menyediakan permintaan bagi SCORE kerana banyak syarikat-syarikat sudah menunggu untuk melabur.

“Kita perlu fikir sewajarnya berapa banyak yang kita mampu sediakan meskipun pelabur-pelabur yang komited untuk melabur bersedia menunggu,” katanya sambil menambah kemudahan telekomunikasi perlu terus dimantapkan.

Ketika ditanya mengenai potensi-potensi pelaburan di Sarawak, beliau yang enggan mengulas lanjut sekadar berkata: “Saya tidak dapat berikan butiran-butirannya tetapi (nilai pelaburan) agak besar,” katanya.

Beliau turut menyebut industri makanan halal dan sarang burung mempunyai masa depan yang begitu cerah.

“Saya mengharapkan pengusaha dan pengeksport tempatan kita akan mengambil peluang ini, peluang yang diberikan dan bantuan.

“Ini harus dimanfaatkan pengusaha dan pengeksport kita,” katanya.

Awang Tengah turut melahirkan harapan agar kerajaan pusat mempertimbangkan pengurangan cukai berganda untuk caj pengangkutan produk eksport semua industri dari Sarawak ke negeri-negeri lain serta bagi import bahan mentah dari Semenanjung Malaysia untuk pengeluaran produk eksport, selain kos pengangkutan dalam Sarawak.

“Pengurangan kos ini bukan sahaja membolehkan masyarakat peniaga tempatan lebih bersaing, tetapi menjadikan Sarawak lebih berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Hamim berkata beliau akan mengemukakan perkara itu ke Menteri Kewangan bagi dipertimbangkan.

“Setakat ini belum ada lagi tetapi kita tahu kerajaan pusat sedang mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana Sarawak berpotensi untuk meningkatkan GDP (pendapatan kasar negara) negara,” katanya.

Sambil memberitahu bahawa MATRADE menganjurkan 93 program kepada pengeksport di Sarawak, Hamim berkata MATRADE juga memperkenalkan program secara persidangan video yang menjimatkan kos latihan.

“Ini bermakna syarikat-syarikat dapat menjimatkan kos latihan di mana syarikat tidak perlu lagi menghadiri program latihan MATRADE yang diadakan di Kuala Lumpur,” katanya.

AFI bawa agenda rangkuman kewangan

$
0
0

Satu langkah ke hadapan menerusi ‘Sasana Accord’ yang akan diumumkan hari ini: Zeti

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Alliance of Financial Inclusion (AFI) akan memperluaskan komitmen mereka dengan membawa agenda rangkuman kewangan satu langkah ke hadapan menerusi pewujudan ‘Sasana Accord’.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata ‘Sasana Accord’, akan diumumkan esok (hari ini) dan dipengerusikan oleh Jawatankuasa Pemandu AFI, adalah berasaskan kepada Pengisytiharan Maya 2009.

Pengisytiharan Maya ialah satu pernyataan prinsip bersama berkaitan dengan pembangunan dasar rangkuman kewangan yang dibuat oleh sekumpulan institusi peraturan negara-negara membangun, dengan BNM telah menetapkan matlamat 95 peratus rangkuman kewangan menjelang 2014.

“Jumlah populasi dewasa kita yang mempunyai akaun perbankan pada masa ini ialah 95 peratus, jadi, ia memang tinggi,” kata beliau dalam persidangan akhbar selepas forum Dasar Global AFI 2013 di sini semalam.

Terdahulu, Queen Maxima dari Belanda, yang juga merupakan Setiausaha Agung Pembela Khas bagi kewangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Penaung Kehormat Kumpulan 20 Kerjasama Global untuk Rangkuman Kewangan, turut menyampaikan ucap tama pada forum itu.

Zeti maklum fokus sebenar pada masa ini ialah meningkatkan akses kepada pembiayaan, di mana industri digalakkan memperkenalkan produk yang boleh memenuhi keperluan perniagaan dan pada masa yang sama, mengekalkan amalan peminjaman bertanggungjawab.

“Kita tidak mahu berlakunya peminjam berakhir dengan hutang yang tinggi,” kata beliau.

Pengarah Eksekutif AFI Dr Alfred Hannig berkata, perikatan itu akan menyaksikan lebih banyak komitmen dibuat oleh ahli-ahlinya untuk memajukanstrategi rangkuman kewangan negara, dengan setakat hari ini, 43 komitmen telah dibuat.

“Kami menjangkakan dua lagi dalam beberapa hari ini, jadi kami akan meninggalkan Malaysia dengan 45 komitmen,” kata beliau.

Tema forum tahun ini, ‘Driving Policies for Optimal Impact’ menggariskan keperluan pemahaman interaksi yang lebih baik antara objektif dan kesan rangkuman kewangan, kestabilan kewangan dan integriti serta dasar perlindungan pengguna. — Bernama

Penantian 18 tahun pelajar OKU untuk kerusi elektrik berakhir

$
0
0

DAPAT KERUSI: Muhammad Zahrin berbual bersama kakitangan Kolej Matrikulasi Labuan selepas menerima kerusi roda elektrik di Labuan, semalam. — Gambar Bernama

LABUAN: Penantian 18 tahun seorang pelajar matrikulasi kurang upaya (OKU) untuk memiliki kerusi roda elektrik berakhir apabila beliau menerima kerusi roda itu sumbangan pihak-pihak yang prihatin.

Muhammad Zahrin Ahmad, 18, dari Kg Sg Batang, Sandakan, Sabah, yang lahir semula jadi cacat kedua-dua tangan dan kaki, tidak mampu bergerak secara normaldan sentiasa memerlukan bantuan orang lain termasuk untuk berwuduk dan solat.

Prihatin dengan penderitaan Zahrin, kakitangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan Kuala Lumpur telah mengutip derma untuk membelikannya sebuah kerusi roda elektrik yang didatangkan dari Kuala Lumpur.

“Dengan adanya kerusi roda elektrik ini, saya tidak lagi memberi signal atau memanggil rakan sebilik saya untuk menyorong menolak saya ke tempat yang hendak saya tujui. Tidak perlu lagi untuk saya meminta ditolak ke kelas kuliah. Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada yang prihatin, hanya tuhan saja yang mampu membalas,” katanya yang sebelum ini hanya mampu berbaring untuk menulis.

“Kini tidak lagi, saya mampu untuk ke mana juga meskipun masih terpaksa dipimpin untuk ke atas meja bilik kuliah untuk sesi pembelajaran, makan dan minum masih memerlukan bantuan untuk disuap.”

Beliau hanya bergantung kepada kekuatan lengan untuk menulis tetapi tidak berdaya untuk makan dan minum sendiri.

Zahrin diterima melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan (KML) untuk Sesi 2013 dalam jurusan perakaunan selepas cemerlang dalam Sijil PelajaranMalaysia (SPM).

Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar Kolej Matrikulasi Labuan Ahmad Affendy Abdullah memberitahu Bernama Zahrin adalah pelajar yang cekal dan bersemangattinggi setanding dengan pelajar normal lain meskipun dengan kekurangan yangbeliau hadapi.

“Namun beliau tidak berputus asa dan sentiasa memperlihatkan keceriaan dan semangat untuk terus belajar,” katanya yang menambah Zahrin ada kalanya meluahkan rasa serba salah kerana terlalu bergantung bantuan rakan-rakannya yang harus dipuji kerana dari awal persekolahan hingga sekarang tidak mengeluh untuk membantu dan memimpin beliau ke mana juga beliau pergi.

Bernama pada awal Julai mengeluarkan artikel berkenaan keperitan Zahrin mengikuti pembelajaran kelas dengan ketidakupayaannya dan pada minggu lalu mendapat liputan Bernama TV di saluran 502 Astro.

Walaupun beliau telah memiliki kerusi roda elektrik, Zahrin masih memerlukan meja khas di kelasnya kerana beliau kini menggunakan meja yang disusun untuk membolehkannya mengikut kuliah dalam keadaan berbaring.

Difahamkan hasil perbincangan warga prihatin di Labuan, sebuah syarikat akan berusaha untuk mereka meja khas itu.

Walaupun OKU, Zuhrin mempunyai keistimewaan iaitu mempunyai daya ingatan yang kuat dan mampu mengingat pelajaran yang didengarnya tanpa mencatat nota dalam kelas.

“Ada beberapa kelas yang tidak memerlukan beliau dibaringkan di atas meja dan beliau hanya perlu mendengar dan mencatatkan semula di atas katil asrama. Kelajuan menulis juga setanding dengan pelajar lain dengan kelajuan 180 perkataan dalam 10 minit. Saya kagum dengan keupayaan beliau,” katanya. — Bernama

Pengusaha kedai ditipu RM20,000 penyamar penguat kuasa DBKL

$
0
0

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha kedai cermin di Salak Selatan Baru di sini kerugian RM20,000 selepas ditipu beberapa individu yang menyamar sebagai anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Low Bee Chow, 40, membayar amaun berkenaan pada Mei tahun lepas selepas didatangi enam lelaki yang mendakwa beliau mengusahakan perniagaan di atas tapak DBKL seluas kira-kira 5,000 kaki persegi itu.

“Mereka kata kalau saya masih mahu menggunakan tanah itu untuk perniagaan saya, saya harus membayar RM20,000. Wang itu juga didakwa sebagai permohonan kepada DBKL untuk saya kekal menjalankan perniagaan di tapak itu,” katanya yang telah menjalankan perniagaan tersebut sejak tahun lepas.

Low yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya berkata selepas membuat pembayaran itu, ‘penguat kuasa’ DBKL berkenaan mengeluarkan surat kebenaran dan permit menggunakan tanah yang menyerupai ‘letter head’ sebenar DBKL beserta nama dan tandatangan individu bernama Sharom Ujang yang berkhidmat di bahagian Jabatan Perancang & Kawalan Bangunan DBKL.

“Saya ingatkan masalah itu sudah selesai, tapi kehadiran satu notis pemberitahuan daripada Pejabat Tanah dan Galian ( PTG) untuk mengosongkan tapak ini pada 23 April lepas, mengejutkan saya. Saya hanya menyedari ditipu selepas pihak DBKL memaklumkan individu yang menyamar tersebut adalah bekas penguat kuasa DBKL yang telah dibuang kerja,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata penama Sharom Ujang juga wujud dalam organisasi DBKL, tetapi tandatangannya telah dipalsukan.

Sementara itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan Datuk A.Chandrakumanan yang meninjau lokasi tapak perniagaan berkenaan berkata, hasil perbincangan dan rayuan dengan pihak DBKL, mangsa diberi masa dua mingguuntuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata tempoh dua minggu itu diberikan setelah arahan pengosongan tapak tersebut berakhir semalam.

“Pertama sekali saya nasihatkan Puan Low buat laporan polis dahulu dan kita akan bangkitkan isu ini kepada DBKL untuk mengambil tindakan kepada sesiapayang menyamar sebagai anggota DBKL.

“Lepas itu, saya minta dia (Low) buat satu permohonan untuk menduduki sementara (TOL) di tanah ini supaya dia dapat kelulusan untuk terus duduk di sini atau tempat ini akan dirobohkan kerana ini adalah tanah PTG,” katanya.

Beliau berkata sekiranya pihak DBKL mendapati tanah tersebut tidak digunakan bagi sebarang pembangunan untuk sementara waktu ini, mereka mungkin bolehmempertimbangkan permohonan Low untuk terus mengusahakan perniagaannya di tapakitu. — Bernama

Polis kenal pasti identiti suspek kes bunuh Timbalan Ketua Pengarah Kastam

$
0
0

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada 26 April lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata, pengecaman suspek berumur 22 hingga 30 tahun itu dibuat melalui foto dan tindakan memberkas suspek akan dibuat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan menyiarkan gambar suspek kerana kes itu masih dalam siasatan.

Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, April lalu.

Dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada jam 8.15 pagi.

Dalam perkembangan lain, polis menahan pasangan suami isteri berumur 51 dan 55 tahun pada 28 Ogos lepas kerana dipercayai mendera anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun di Jalan Pahang, Setapak, di sini.

Khairi berkata kedua-dua suspek yang merupakan peniaga itu ditahan susulan laporan polis oleh seorang guru sebuah sekolah di Setapak, sehari sebelum kejadian.

“Guru tersebut mendapati kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan parah di bahagian badan, kaki, mulut dan kepala. Kanak-kanak itu hadir ke sekolah dengan keadaan luka yang kronik dan ibu bapanya dipanggil untuk diambil keterangan. — Bernama

Bekerjasama pemimpin setempat untuk transformasi GIATMARA

$
0
0

KEPALA BATAS: GIATMARA digalakkan bekerjasama dengan pemimpin setempat yang mampu menjadi nilai tambah dalam proses transformasi institusi yang menawarkan program latihan dan kemahiran itu untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Pengerusi GIATMARA Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata proses transformasi itu mesti bersifat lebih strategik dan sistematik agar setiap kursus ditawarkan seiring dengan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju berpendapatantinggi.

Beliau berkata, dalam usaha melahirkan ramai modal insan berkemahiran tinggi, institusi itu telah merancang pelbagai program yang mempunyai potensi dan nilai pasaran kerja yang tinggi.

“GIATMARA mencuba untuk mencari peluang-peluang baharu yang boleh mencipta pasaran kerja, hal ini bertujuan membantu masyarakat yang ingin menceburi bidang keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi keluarga.

“Sebagai contohnya kita akan meluaskan program latihan yang berkaitan dengan industri spa dan kecantikan yang kini semakin mendapat sambutan dan diminatiramai,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyampaikan sijil latihan 1Malaysia diGIATMARA Prima Tasek Gelugor dekat sini. Turut hadir Pengarah GIATMARA PulauPinang Rusli Abdullah.

Selain itu, Jaujan berkata dalam proses transformasi itu, GIATMARA perlu memberi tumpuan kepada keperluan dan kehendak pelanggan iaitu pelatih dalam memacu sistem latihan berkualiti bagi memenuhi kehendak pasaran. — Bernama

Dua wanita antara 65 penagih dadah ditahan di Jengka

$
0
0

MARAN: Polis menahan 65 penagih dadah termasuk dua wanita berusia lingkungan 20-an dalam Operasi Tapis Bersepadu (OTB) di kawasan ladang Jengka 9 dan Jengka 13 dekat sini, kelmarin.

Operasi yang bermula jam 4 pagi dan berakhir 6 petang itu diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan dengan bantuan lima pegawai dan 58 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Temerloh, Jerantut, Lipis, Kuantan, Unit Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang.

Menurut Yap, seorang daripada wanita terbabit dipercayai pengedar dadah yang disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 23 gram.

Katanya selain menahan kesemua mereka yang berusia di antara 21 hingga 51 tahun itu, polis turut merampas beberapa paket dibaluti plastik dipercayai jenis dadah dan picagari dipercayai digunakan dalam aktiviti penagihan dadah.

“Dua lokasi ladang sawit itu dipilih penagih yang kesemuanya penduduk tempatan untuk melepaskan gian kerana jaraknya yang agak jauh daripada pandangan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, selain terbabit dengan penyalahgunaan dadah, polis percaya ada di antara suspek yang bergiat aktif dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan berdekatan.

Ini ekoran penemuan enam bilah parang, pemutar skru dan beberapa alat lain yang digunakan untuk kegiatan itu bersama suspek yang ditahan.

“Kita juga merampas 50 buah motosikal yang dinaiki suspek dan dibawa ke balai untuk dilakukan pemeriksaan bagi memastikan sama ada ia adalah hakpersendirian atau dicuri,” katanya. — Bernama


Dua pemain bola sepak Pahang ditahan khalwat

$
0
0

KUANTAN: Pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan dua pemain bola sepak Pahang kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini, kelmarin.

Menurut sumber, dua pemain skuad Tok Gajah berusia 20-an itu ditahan bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira jam 4.30 pagi.

Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa JAIP hasil maklumat orang awam yang mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan muhrim.

Hasil pemeriksaan di bilik pertama mendapati seorang pemain Pahang yang dipercayai bermain di posisi tengah pasukan bersama seorang wanita bukan muhrim berada dalam bilik berkenaan, kata sumber itu.

Menurutnya pemeriksaan di sebuah bilik berdekatan pula mendapati rakannya yang dipercayai pemain pertahanan Pahang berada bersama seorang wanita sebelum mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Sumber itu berkata sebelum pintu kedua-dua bilik hotel itu dibuka, pegawai penguatkuasa Jaip mengetuk pintu bilik beberapa kali selain memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa.

Menurutnya siasatan awal mendapati kedua-dua pemain yang belum berkahwin itu mengaku berkhalwat bersama pasangan masing-masing yang berusia 20-an.

Kesemua mereka katanya dibawa ke Pejabat JAIP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982. — Bernama

Tiada arahan keluarkan KP kepada PATI: Dr Mahathir

$
0
0

BERI KETERANGAN: Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di Kota Kinabalu semalam bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menjelaskan beliau tidak pernah memberi arahan agar kad pengenalan dikeluarkan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah ketika menyandang jawatan perdana menteri.

Dalam keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah di sini, Dr Mahathir berulang kali menegaskan bahawa pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin dibuat berdasarkan undang-undang Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, juga berkata beliau tidak mengetahui langsung tentang apa yang dikenali sebagai ‘Project IC’ atau ‘Project Mahathir’ di Sabah, yang didakwa memberi kerakyatan kepada pendatang tanpa izin.

Manoj: Ketika menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri, pernah atau tidak anda mengeluarkan sebarang arahan agar IC diberi kepada pendatang asing tanpa izin?

Dr Mahathir: Tidak. Pengeluaran IC kepada pendatang asing tanpa izin dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ada di Malaysia.

Manoj: Terdapat aduan bahawa ada pendatang tanpa izin di Sabah yang tidak layak menjadi warganegara, telah diberi IC oleh pihak berkuasa ketika itu melalui apa yang dipanggil sebagai ‘Project IC’. Adakah anda tahu tentang perkara ini?

Dr Mahathir: Hanya baru-baru ini saja saya mendengar tentang ‘Project IC’. Sebelum ini, saya tak tahu langsung tentang ‘Project IC’ ini.

Manoj: Sesetengah orang memanggilnya ‘Project Mahathir’. Adakah anda tahu mengenainya?

“Oh, terima kasih banyak-banyaklah kerana menggunakan nama saya untuk projek itu,” kata Dr Mahathir, yang disambut dengan ketawa oleh mereka yang hadir pada siasatan itu.

“Saya mendapat tahu nama saya diguna di merata tempat kerana pelbagai sebab. Mereka memanggil saya ‘rasis, ultra’, tapi saya tidak ambil kisah. Itu dah jadi sebahagian daripada kehidupan politik saya,” tambah beliau.

Dr Mahathir, saksi ke-209 dalam siasatan itu, juga menafikan beliau pernah memberi sebarang arahan atau kuasa kepada ketua menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh, berhubung pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin.

Kata Dr Mahathir, ketika beliau menjadi perdana menteri, kerajaan mengamalkan dasar yang hanya memberi taraf kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin yang layak dan sudah lama tinggal di Sabah.

Sambil menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya dengan tenang, Dr Mahathir, yang berpakaian sut kelabu, baju ungu dan tali leher merah manggis, berkata kerajaan memberi taraf kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin melalui prosedur biasa, sejajar dengan peruntukan undang-undang dan tanpa memerlukan arahan mengenainya.

Menjawab soalan Manoj berhubung keterangan saksi sebelum ini bahawa timbalan menteri dalam negeri ketika itu Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin mendakwa arahan berkenaan datang daripada beliau, Dr Mahathir berkata: “Tidak ada arahan daripada saya.”

Manoj: Dalam melaksanakan dasar kerajaan, adakah anda dapati bahawa pada zaman anda, arahan yang anda beri telah disalah tafsir?

Dr Mahathir: Ia sering juga disalah tafsir oleh petugas, kadang-kadang pada mesyuarat pascakabinet.

Manoj: Sekiranya anda mendapat tahu ia (arahan) tidak dipatuhi atau bercanggah dengan undang-undang dan peraturan, apakah yang akan anda lakukan?

Dr Mahathir: Apabila mendapat tahu mengenainya, saya akan adakan siasatan.

Menjawab soalan berkaitan sebuah buku tulisan Dr Chong Eng Leong berkaitan beliau, Dr Mahathir berkata beliau hanya melihat buku itu secara sekali lalu dan tidak berpeluang untuk membaca keseluruhan kandungannya.

“Ia suatu kajian akademik yang baik, tapi saya tidak tahu bagaimana kesimpulan boleh dibuat bahawa ‘Project IC’ adalah atas arahan saya,” katanya.

Manoj: Tapi, buku ini berulang kali menyebut bahawa Dr Mahathir telah memberi arahan.

Dr Mahathir: Saya mendapat tahu, jika orang menggunakan nama saya, sesuatu buku itu akan menjadi amat laris.

Merujuk kepada kandungan buku itu, Dr Mahathir menolak dakwaan kononnya ketika mempengerusikan satu mesyuarat, Megat Junid berkata beliau (Dr Mahathir) meluluskan pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin dengan berkata, “Saya tidak tahu suatu apapun mengenainya.”

Dr Mahathir, yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, juga memberitahu suruhanjaya itu bahawa pada 1990-an, beliau melaksanakan satu evolusi dengan memasukkan mikrocip ke dalam Kad Pengenalan bagi mengelak pemalsuan.

Ditanya pendapatnya tentang dakwaan seorang saksi bahawa sebanyak 113,850 kad bermasalah dikeluarkan antara 1979 dan 1988 di Sabah dan cadangan agar pemegang kad pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membetulkan butiran diri masing-masing bagi mengelak taraf kewarganegaraan mereka ditarik balik atau Kad Pengenalan mereka dibatalkan, Dr Mahathir berkata: “Jika langkah itu boleh menyelesaikan masalah, maka saya rasa pihak berkuasa patut menimbangnya.”

Terdahulu, ketika menjawab soalan Manoj, Dr Mahathir berkata beliau tidak membantah penubuhan suruhanjaya siasatan itu.

Kata bekas perdana menteri itu beliau sedar tentang kebanjiran pendatang di Sabah antara 1972 dan 1984, serta menyifatkan perkara itu sebagai kejadian biasa kerana ia juga berlaku sebelum Sabah menyertai persekutuan (Malaysia).

“Ini kerana mereka tidak mengiktiraf sempadan Sabah dan Filipina. Mereka datang dan pergi dengan sesuka hati. Ia bukan perkara baharu ketika itu,” katanya.

Manoj: Bagaimanakah hubungan Tun dengan kerajaan negeri di Sabah ketika itu (pada 1980-an)?

Dr Mahathir: Saya mempunyai hubungan baik dengan mereka. Kami sedar bahawa PBS bukan anggota BN, tapi kami ada parti pembangkang yang memerintah negeri seperti di Kelantan dan Pulau Pinang. Hubungan kami dengan mereka biasa sahaja, kami tahu isu tempatan mereka.

Manoj: Apabila PBS menang pada 1985, adakah anda membuat keputusan bahawa mereka perlu dikalahkan dengan apa cara sekalipun?

Dr Mahathir: Jika mereka pembangkang, kami perlu mengalahkan mereka dengan apa jua cara sekalipun, pada sepanjang masa.

Ditanya pengerusi suruhanjaya itu, bekas hakim besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, tentang langkah yang perlu diambil terhadap pendatang asing tanpa izin dengan Kad Pengenalan yang meragukan, Dr Mahathir berkata terserahlah kepada kerajaan sekarang sama ada menerima atau mengusir mereka keluar dari negara ini.

Beliau juga bersetuju dengan Shim bahawa persepsi rakyat Sabah ialah isu Kad Pengenalan merupakan satu masalah yang sangat serius.

Shim: Tidak banyak yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini, bukan?

Dr Mahathir: Ia bergantung pada orang yang berkuasa ketika itu, tapi kerajaan sekarang telah membuat keputusan betul apabila menubuhkan RCI bagi menyiasat masalah ini.

Shim: Pada masa anda, apakah langkah perlu yang diambil untuk manangani perkara ini? Adakah anda sedar sama ada mereka yang berkenaan layak atau tidak untuk mendapat kewarganegaraan?

Dr Mahathir: Pada masa saya, kami guna saluran biasa melalui pihak berkuasa berkenaan untuk mengeluarkan Kad Pengenalan, mengikut undang-undang.

Menjawab soalan berhubung dua pegawai tinggi JPN yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana didakwa terlibat dengan ‘Project IC’, Dr Mahathir berkata mereka mungkin telah melakukan kesalahan, tetapi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menahan seseorang tanpa sebab.

Katanya bukan menjadi dasar kerajaan untuk mengeluarkan Kad Pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin mengikut ‘jalan pintas’, yang bercanggah dengan prosedur biasa, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan, kami pasti mengambil tindakan,” katanya.

Pendengaran bersambung pada 19 Sept. Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi keterangan pada tarikh itu.

Setakat ini, suruhanjaya itu telah mendengar keterangan 209 saksi. — Bernama

Hentikan stigma dan diskriminasi terhadap kanak-kanak HIV: Marina

$
0
0

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu menghentikan stigma dan diskriminasi terhadap kanak-kanak penghidap HIV supaya mereka dapat turut menikmati peluang dan ruang dalam persekitaran yang lebih kondusif.

Bekas Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Datin Paduka Marina Mahathir berkata, masyarakat sebaliknya patut menambah pengetahuan yang tepat mengenai HIV termasuk bagaimana mencegahnya daripada merebak.

“Orang ramai patut mengambil tanggungjawab untuk mengetahui maklumat terkini mengenai HIV dan pihak kerajaan juga perlu membanyakkan lagi program kesedaran mengenai HIV.

“Ini kerana masih ramai yang tidak mengambil berat hal ini. Hakikatnya ramai kanak-kanak yang menghidap HIV perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menjadi tetamu khas program ‘Bernama Today’ di Saluran Astro 502 di sini semalam.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, terdapat 94,841 kes HIV yang terkumpul sejak 1986 dengan 2,324 orang (2.4 peratus) adalah individu yang berusia 19 tahun ke bawah.

Statistik pada 2011 pula menunjukkan sebanyak 120 orang kanak-kanak dan belia berusia 19 tahun ke bawah adalah antara 3,479 penghidap kes baharu HIV pada tahun berkenaan.

Marina berkata sebagai warganegara prihatin, masyarakat perlu peka untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti HIV.

“Menentang stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV adalah sama penting dengan pencarian ubat penyembuh serta mencegah dan mengawal epidemik global ini,” katanya.

Menurutnya, generasi muda digalakkan menyertai program gaya hidup sihat dan kempen kesedaran HIV supaya mereka tidak mudah diracuni stigma negatif dan terlibat dengan kegiatan yang membolehkan HIV/AIDS merebak.

Sebagai aktivis membendung penularan HIV, Marina dipilih antara 26 personaliti dalam program ‘L’oreal Professional: Colour For Life Campaign’.

Program kerjasama L’oreal Professional dan MAF di pusat beli-belah Mid Valley Centre Court pada 21 dan 22 Okt itu akan memberi peluang kepada orang ramai menggunting rambut dengan harga serendah RM20 bagi mengumpul dana membantu kanak-kanak menghidap HIV. — Bernama

Pelatih PLKN di kem Balik Pulau protes kem tidak memuaskan

$
0
0

BALIK PULAU: Beberapa anggota keluarga pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem White Resort di sini berkumpul di pekarangan kem itu hari ini untuk meminta kebenaran pihak pengurusan membawa pulang pelatih dari kem itu.

Sebelum itu malam tadi kira-kira 200 pelatih dilaporkan berkumpul dengan beg pakaian masing-masing dan sepakat mahu keluar dari kem berkenaan kerana tidak puas hari dengan keadaan tempat penginapan dan penyediaan makanan di kem itu.

Seorang daripada bapa pelatih itu yang enggan dikenali berkata anak lelakinya mengadu penyediaan makanan di kem berkenaan tidak bersih selain keadaan kemudahan kem yang uzur dan kotor.

“Seminggu lepas, anak saya telefon mengadu tandas di sini kotor, makanan yang disediakan tercemar selain ada katil yang rosak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bagaimanapun jurulatih kem berjaya menenangkan keadaan dengan berbincang dan meminta mereka bersurai.

Pihak pengurusan kem enggan mengulas mengenai kejadian itu dan meminta pihak media supaya turut beredar.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu daripada mana-mana pihak. — Bernama

Kongsi gelap: ROS diminta batal ‘Sabah Atap’, ‘Otai’

$
0
0

Polis dapati kedua-duanya disyaki terlibat kongsi gelap

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) digesa membatalkan pendaftaran dua pertubuhan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata dua pertubuhan itu ialah ‘Sabah Atap’ yang berdaftar pada 2005 dan ‘Otai’ pada 2007.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kedua-dua pertubuhan itu sering terlibat dengan kegiatan kongsi gelap seperti bergaduh dan pemerasan.

Bercakap kepada Bernama, Abdul Jalil mendedahkan terdapat dua lagi pertubuhan yang turut menggunakan nama ‘Otai’ dan ‘Sabah Atap’, tetapi masing-masing didaftarkan dengan ROS pada 2012 dan 2013.

“Kita minta ‘Otai’ yang didaftarkan pada 2007 dan ‘Atap’ pada 2005 diharamkan (dibatalkan pendaftaran) manakala pertubuhan yang berdaftar dengan nama yang sama kita minta mereka tukar nama pertubuhan mereka,” katanya.

Beliau berkata siasatan setakat ini mendapati dua pertubuhan yang didaftarkan pada tahun lepas dan tahun ini tidak terlibat dalam sebarang kegiatan kongsi gelap.

Justeru, beliau menggesa mereka mengubah nama pertubuhan bagi mengelak daripada mengundang kekeliruan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

‘Sabah Atap’ dan ‘Otai’ ialah antara 49 kongsi gelap yang diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Abdul Jalil berkata polis sudah memaklumkan kepada ROS mengenai status kumpulan tersebut dan menyerahkan kepada jabatan itu untuk mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata pihaknya kini menunggu pengesahan rasmi daripada polis berhubung status dua pertubuhan berkenaan.

“Saya telah bermesyuarat di Bukit Aman, kita tunggu pengesahan polis. Sekiranya polis beri pengesahan kita akan haramkan dua pertubuhan berkenaan,” katanya.

KDN baru-baru ini mengharamkan nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara kerana dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, pembunuhan, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Pengharaman itu berikutan polis melancarkan Ops Cantas Khas bagi mengurangkan jenayah kekerasan dan sehingga kini sebanyak 4,806 orang ditahan serta 221 senjata termasuk senjata api dirampas dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara sejak 17 Ogos lalu. — Bernama

Viewing all 47228 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>