BINTULU: Pendekatan inovatif perlu diambil oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya lebih berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Perusahaan Malaysia Bank Negara Malaysia (BNM) Marina Kahar berkata, pendekatan itu dapat dilakukan melalui proses automasi, penjenamaan semula, penggunaan teknologi inovatif, penyelidikan dan pembangunan serta kawalan kewangan lebih baik.
“Ini mengurangkan kos perniagaan, meningkatkan produktiviti dan prestasi kewangan syarikat,” katanya semasa merasmikan Program Outreach Usahawan PKS di Hotel Parkcity Everly semalam.
Beliau berkata sektor PKS adalah ejen yang sangat penting bagi pertumbuhan ekonomi kerana ia mempunyai potensi besar untuk menyokong transformasi kerajaan ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi dan untuk membasmi kemiskinan.
“Meliputi 97 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar, PKS tunjang kepada sumber tenaga kerja negara. Sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2013 adalah hampir 34 peratus dan menyasar 41 peratus menjelang 2020,” katanya.
Beliau berkata PKS menikmati akses kepada pembiayaan, dengan tujuh bulan pertama tahun 2014, institusi kewangan telah meluluskan hampir RM43 bilion kepada lebih daripada 80,000 PKS dan mencatatkan kadar kelulusan yang tinggi iaitu 82 peratus.
Katanya pembiayaan daripada institusi kewangan pada akhir Julai 2014 meningkat sebanyak 11 peratus.
“Institusi kewangan menyumbang kira-kira 94 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan terkumpul yang melibatkan sejumlah RM213 bilion kepada lebih daripada 600,000 akaun PKS,” kata Marina.
Katanya Syarikat Jaminan Kredit telah menjamin pembiayaan kepada PKS yang tiada atau kekurangan cagaran dengan lebih RM50 bilion yang melibatkan lebih daripada 400,000 akaun sejak penubuhannya.
“Bank Negara Malaysia telah mengambil pendekatan yang menyeluruh untuk membangunkan ekosistem pembiayaan yang kukuh dan telah memberi manfaat kepada PKS dari segi pembiayaan.
“Jumlah pembiayaan meningkat sepanjang dekad lepas. Manakala kualiti pembiayaan meningkat dengan ketara dengan kadar pinjaman terjejas berkurangan kepada 3.8 peratus pada 2013 berbanding dengan 14.5 peratus pada 2003,” katanya.
Katanya bagi membantu perniagaan kecil atau mikro, BNM telah memperkenalkan skim pembiayaan mikro pada 2006.
Beliau berkata skim ini menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 tanpa memerlukan apa-apa jenis cagaran, kertas kerja atau dokumen yang kompleks.
“Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2014, sejumlah RM185 juta pembiayaan telah diluluskan manakala jumlah terkumpul adalah lebih daripada RM860 juta,” kata Marina.
Sejak 2003, beliau berkata, BNM juga telah menubuh Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) untuk membantu perniagaan berdaya maju supaya menyusun semula pinjaman perniagaan PKS yang bermasalah.
“Sehingga September 2014, skim ini telah membantu lebih 900 PKS dengan jumlah pembiayaan sebanyak hampir RM1 bilion dengan lebih 70 peratus permohonan telah berjaya dibantu,” katanya.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Bank SME Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus dan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Bintulu Kadir Sahib.