Permohonan menaik taraf jalan telah dikemuka sejak beberapa tahun lepas
// Oleh Kepu Sidi //

NAIK TARAF: Kilat menunjukkan jalan rumah panjang mereka yang memerlukan proses menaik taraf dengan segera.
SARIKEI: Penduduk Rumah Tawie, Sungai Kerapa dekat sini memohon pihak berkaitan khususnya wakil rakyat kawasan terbabit mempercepatkan proses permohonan dengan menyalur peruntukan untuk kerja menaik taraf jalan menuju ke rumah panjang mereka.
Penduduk, Kilat Empaling, 51, berkata, permohonan untuk menaik taraf jalan menuju ke rumah panjang mereka telah dikemuka sejak beberapa tahun lepas.
“Setelah permohonan tersebut dikemuka kepada wakil rakyat di kawasan ini, kami telah mendapat maklum balas positif dan ia mendapat perhatian serta kelulusan.
“Selain daripada permohonan rumah panjang kami, beberapa rumah panjang lain yang turut mengemukakan permohonan dan ia turut mendapat respons yang positif dan turut diluluskan.
“Kebanyakan permohonan telah sampai ke peringkat akar umbi, namun bagi rumah panjang kami peruntukan dijanji sebanyak RM10,000 hingga ke hari ini belum lagi diterima,” katanya ketika menemui media, semalam.
Menurut Kilat, setiap kali adanya Majlis Pemimpin Bersama Rakyat diadakan di kawasan berhampiran, tuai rumah rumah panjang mereka kerap mengemukakan soalan dan status permohonan mereka.
Namun katanya, setiap kali diajukan kepada pihak berkaitan, jawapan yang mereka terima ialah ia telah diluluskan dan tunggu.
“Perkara yang mendatangkan rasa kecewa kepada kami ialah rumah panjang lain telah mendapat kelulusan permintaan mereka dalam tempoh yang singkat, tetapi permintaan kami yang disampaikan bertahun-tahun, hingga hari ini masih belum mendapat keputusan seperti yang dikehendaki.
“Kami tidak tahu apa masalah rumah panjang kami hingga terpaksa menghadapi situasi dan dilema seperti ini,” ujarnya.
Selain itu kata Kilat, masalah berkenaan turut dimaklumkan kepada ketua kaum kawasan berkenaan untuk disampaikan kepada peringkat kepimpinan, tetapi usaha berkenaan masih belum menampakkan jalan penyelesaian.
Menurut Kilat, jalan rumah panjang yang mereka ingin naik taraf tersebut hanya tsejauh 100 meter sahaja dari jalan utama.
“Usaha menaik taraf jalan tersebut amat penting bagi kami kerana jalan terbabit berada dalam keadaan yang agak teruk dan sukar untuk dilalui kenderaan,” tegas Kilat lagi.