Oleh Saibi Gi, Patricia Gari dan Nick Fletcher//
![UNTUK BN: Adenan (lima kanan) bergambar bersama enam calon BN dan tiga calon langsung BN selepas sidang media, semalam.]()
UNTUK BN: Adenan (lima kanan) bergambar bersama enam calon BN dan tiga calon langsung BN selepas sidang media, semalam.
KUCHING: Pengumuman 11 lagi calon semalam menjadikan Barisan Nasional (BN) telah memuktamadkan lebih 70 orang calon yang akan bertanding pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata daripada jumlah itu, 40 merupakan calon dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) apabila beliau mengumumkan baki lapan calon daripada parti tersebut.
Enam merupakan muka baharu iaitu Datuk Idris Buang, 62, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, Awla Dris, 54, (Simunjan), Mohd Chee Kadir, 63, (Kabong), Jefferson Jamit Unyat, 58, (Bukit Goram), Datuk Dr Juanda Jaya, 44, (Jemoreng) dan Shafiee Ahmad, 46, (Daro).
Manakala dua lagi kerusi diperuntukkan kepada PBB iaitu Kalaka dan Katibas akan dipertahankan oleh penyandangnya, masing-masing Datuk Abdul Wahab Aziz dan Datuk Ambrose Blikau.
Juanda dipilih menggantikan Abu Seman Jahwie di DUN Jamoreng, manakala Shafiee mengambil alih kerusi DUN Daro daripada Dr Murni Suhaili.
Manakala tiga calon langsung BN ialah Miro Simuh, 40, (Serembu), John Ilus, 52, (Bukit Semuja) dan Datuk Gerawat Gala, 59, (Mulu). Tiga kerusi itu merupakan kerusi baharu susulan persempadanan semula kawasan Pilihan Raya Negeri.
Mengulas lanjut mengenai calon langsung BN, Adenan yang juga Presiden PBB berkata, mereka perlu keluar daripada parti politik disertai mereka ketika ini dan bebas memilih mana-mana parti komponen BN jika menang kelak.
Tambahnya, calon langsung BN dan calon-calon BN juga harus melafaz ikrar setia kepada BN kerana mereka bertanding menggunakan tiket BN.
“Ya, mereka (calon langsung BN) perlu bersara daripada parti politik diwakili ketika ini. Jika menang mereka boleh memilih mana-mana parti komponen BN dan sudah tentu parti yang banyak menyokong sepanjang berkempen.
“Isu lebih ramai bakal memilih PBB apabila menang kelak, tidak penting. Apa yang penting ialah BN mempunyai lebih 40 kerusi. PBB tidak akan memberi sebarang alasan untuk menjadikan parti lebih kukuh. Kita sentiasa bekerja keras untuk kepentingan parti,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Dalam perkembangan lain, Adenan berkata beliau kecewa dengan pihak tertentu yang mempersoalkan kuasa autonomi Sarawak khususnya berhubung imigresen.
Beliau berkata, larangan memasuki Sarawak tidak hanya dikenakan kepada ahli atau pemimpin parti pembangkang, tetapi juga UMNO sekiranya mendapati mereka bersikap radikal dan melampau.
“Saya menjangka perkara itu dibangkitkan pembangkang dan isu mereka adalah isu kitar semula.
“Saya perlu melindungi kepentingan Sarawak, daripada elemen tidak selamat baik dari segi politik dan sebagainya.
“Ini tugas saya sebagai Ketua Menteri. Saya tidak akan menarik balik larangan ini (kemasukan individu tertentu ke Sarawak),” tegasnya.