Tiada persetujuan sebulat suara, sokongan akan merosakkan perpaduan
Oleh Lim How Pim //
KUCHING: Sayap Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak bersetuju dengan BN Plus seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Ketuanya Tan Kai berkata, sayap terus bersatu memberi sokongan kepada Najib memimpin negara tetapi membantah formula BN Plus kerana ia tidak dipersetujui sebulat suara oleh parti-parti komponen BN.
“Mana-mana pemimpin BN termasuk pemimpin tertinggi mengeluar kenyataan untuk menyokong BN Plus pastinya akan merosakkan perpaduan dalam BN,” katanya pada sidang media di SUPP cawangan Batu Lintang di sini, semalam.
Tan berkata, SUPP sentiasa menjadi penyokong kuat BN sejak hari pertama dan tidak mahu BN berpecah.
Beliau mengingatkan bahawa pemimpin yang menyatakan sokongan terhadap BN Plus harus meletakkan kepentingan perpaduan dalam BN, bukan melemahkan parti pemerintah.
“Perlembagaan BN harus dipatuhi semua pasti komponen. Mana-mana parti politik lain ingin menyertai BN mesti dipersetujui semua parti komponen.
“Pemimpin TERAS atau UPP adalah mereka yang dipecat atau keluar dari parti komponen BN masing-masing. Kemudian menubuhkan parti mereka sendiri. Maka dalam hal ini, Pemuda SUPP menentang parti ini menjadi parti komponen BN,” katanya.
Malahan kata Tan, ramai dalam kalangan ahli SUPP keliru dengan apa dikenali sebagai BN Plus kerana definisinya tidak begitu jelas.
“Sebelum ini, ia adalah parti mesra BN dan kini ia adalah BN Plus. Apakah definisi, apakah formula? Kami tidak akan memberi apa-apa kerusi yang diperuntuk kepada SUPP, kepada mana-mana pihak BN Plus,” katanya.
Mengulas isu berlainan, Tan berkata, sayap Pemuda menganjurkan ‘SUPP Youth Central State Tour Convoy’ dengan mengadakan lawatan ke-18 cawangan parti seluruh negeri antara 3 hingga 6 Jun sempena ulang tahun ke-56 parti itu.
“Konvoi diadakan selaras dengan slogan SUPP untuk Rakyat Sarawak (SUPP for Sarawakians), yang dilancarkan pada majlis makan malam ini (Sabtu).
“Kami berhenti di beberapa tempat untuk berjumpa dengan masyarakat peringkat akar umbi selain untuk meningkatkan lagi pemahaman lebih baik daripada mereka,” katanya.
Antara tempat konvoi termasuk Lawas, Limbang, Miri, Bekenu, Bintulu, Kanowit, Julau, Bintangor, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Simunjan, Serian, Tarat, Mambong dan Batu Kawa.