Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Percepatkan kerja-kerja pemasangan saluran paip

$
0
0

TIADA PILIHAN:Anak-anak dan orang dewasa banyak bergantung kepada air graviti yang belum terjamin kebersihannya.

KUCHING: Penduduk di kawasan Siburan memohon kontraktor bertanggungjawab mempercepatkan kerja-kerja pemasangan saluran paip agar mereka (penduduk) dapat menikmati bekalan air bersih.

Ketua Ranting PBB Siburan Philip Langus ketika ditemui berkata perkara itu telah lama berlarutan namun mengikut perancangan awal, ia sepatutnya siap menjelang Ogos atau September tahun ini.

“Kalau diikutkan perancangan awal, saluran paip yang dipasang di jalan utama dari Bengoh sepatutnya siap menjelang Ogos dan September.

“Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin ada menyebut dalam akhbar bahawa Ogos atau September air dari Bengoh akan siap.

“Tetapi mungkin kontraktor yang lambat memasang saluran paip.

“Sekarang ini, sudah ada projek di jalan utama yang membuat saluran paip, tetapi kontraktor agak lambat,” katanya kelmarin.

Projek itu dimaklumkan sejak awal tahun lepas dan kampung-kampung dari kawasan Serian sehingga Bengoh mengalami masalah yang sama.

Sementara itu, ditanya mengapa segelintir rumah sahaja yang diberikan Tangki Air 1Malaysia (berwarna biru) ujarnya, ia diagihkan mengikut permohonan penduduk di seluruh Sarawak yang diberikan secara serentak.

“Pengusaha tangki air memberitahu tangki yang dibuat tidak cukup, jadi sekarang mereka buat lagi dan jikalau sudah siap pihaknya akan mengagihkan lagi.

“Fasa dua berkemungkinan akan sampai menjelang penghujung tahun ini,” jelasnya.

Fasa pertama pengagihan tangki air itu dilakukan pada bulan Februari dan hampir 50 peratus penduduk kampung di sekitar kawasan Siburan, Serian dan Bengoh mendapat kemudahan terbabit.

Hampir 100 rumah di Kampung Sungai Duuh sudah menikmati kemudahan itu.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan mendedahkan namanya berkata air yang dibekalkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya dapat didapati pada jam 10 malam ke atas.

“Itupun bukan selalu ada air, cuma pada jam 10 atau 11 malam ke atas dan kadang-kadang tidak ada.

“Jika ada cuma sampai jam 5.30 pagi sahaja. Sepanjang hari kalau ada mungkin dalam masa sejam setengah antara jam 3 hingga 4.30 petang, itupun kecil untuk ditakung di dalam baldi bagi kegunaan harian.

“Orang kampung biasanya bergantung kepada  takungan air graviti dan biasanya akan ke sungai berdekatan bagi mendapatkan air bagi kegunaan harian,” jelasnya.

Beliau memohon agar kepayahan untuk mendapat bekalan air bersih diselesaikan dengan segera.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>