
LANCAR: Abang Johari (kanan) ditemani (dari kiri) Patrick, Dona dan Rebecca menunjukkan bas khas untuk Festival Muzik WAG. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
Kerajaan kenal pasti kawasan sesuai bagi pembinaannya di sekitar Bau-Kuching
KUCHING: Kementerian Pelancongan dan Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) akan membina sebuah kampung haiwan yang pertama di negeri ini.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan kini sedang menjalankan kajian untuk melihat lokasi yang bersesuaian bagi pembinaan perkampungan haiwan itu di sekitar Bau-Kuching.
Beliau menjelaskan setakat ini SSPCA telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM150,000 untuk tujuan pembinaan kampung tersebut.
“Seperti yang dimaklumkan oleh SSPCA, kos pembinaan Kampung Haiwan ini adalah sebanyak RM1.5 juta dan melalui program yang dianjurkan SSPCA pada tahun lepas mereka berjaya mengutip RM150,000 untuk pembinaan perkampungan khas untuk haiwan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sidang media pelancaran bas khas sempena Festival Muzik WAG (World Animal Groove) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
“Kami masih menjalankan perbincangan dengan Jabatan Tanah dan Survei untuk mencari lokasi terbaik untuk pembinaan kampung haiwan ini.
“Malah kami sedia menghulurkan bantuan untuk membina perkampungan itu kerana ia akan menjadi satu lagi lokasi baharu tarikan pelancong di negeri ini,” tambah Abang Johari yang juga Menteri Perumahan.
Sementara itu, menyentuh mengenai Festival Muzik WAG anjuran SSPCA, beliau menjelaskan bahawa kementeriannya akan memasukkan acara itu dalam kalendar pelancongan negeri pada tahun depan.
“Festival ini akan menjadi acara baharu dalam kalendar pelancongan Sarawak pada tahun depan sekali gus dapat menarik pelancong datang ke negeri ini,” jelasnya.
Terdahulu, Presiden SSPCA Dona Wee berkata Festival Muzik WAG akan berlangsung pada 12 Oktober akan datang di BBCK yang akan mempersembahkan artis terkemuka seperti The Bottle Boys (Denmark), Avijit and Friend (India), pelawak Bibi KPoh (Kuala Lumpur), Gamelan Band (SMK Matang), Nading Rhapsody dan Gabrial F Louis (Singapura).
“Konsert akan berlangsung pada sebelah petang bermula dari jam 6.30 petang dan pada sebelah paginya bermula 7.00 pagi kami turut mengadakan The Animazing Race and Wiggle Waggle Walk sejauh 10 kilometer yang terbuka kepada dua kategori lelaki dan wanita yang berusia 16 tahun dan ke atas,” jelasnya.
Dona memberitahu, setiap penyertaan akan dikenakan bayaran RM60 seorang yang mana borang penyertaan boleh didapati di laman www.ticketxpress.com.my atau datang ke Pejabat Komunikasi UCSI University Jalan Setia Raja.
“Tarikh tutup penyertaan larian ini adalah pada 22 September akan datang manakala bagi mereka yang ingin menyaksikan konsert sempena Festival Muzik WAG ini, sebanyak RM60 (dewasa) dan RM30 (kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun) akan dikenakan,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Festival Muzik WAG itu, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.wagmusicfestival.com.
Hadir sama pada sidang media itu semalam, Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak Datuk Patrick Liew, Pengerusi SSPCA Rebecca D’Ruz dan tetamu kehormat lain.