KUCHING: Alice Chang Li Sian dan Clement Sim Kwong Zhi muncul pemain terbaik Kejohanan Pingpong Kumpulan Umur Kuching yang berakhir di Pusat Latihan Elit Kuching pada Ahad lepas.
Alice yang berusia 13 tahun dan pelajar SMK Sungai Tapang memenangi gelaran pertama Perempuan U-13 selepas mengalahkan Elicia Tsai Xin (SJK Chung Hua No.3) 3-2 pada perlawanan akhir.
Tempat ketiga dikongsi Tay Lynn Jia (SJK Chung Hua No.2) dan Sim Yu Qi (SMK Sungai Tapang).
Alice turut merangkul gelaran Perempuan U15 apabila menewaskan Tay Lynn Jia dan Kylie Teo Liyi (SMK Green Road) yang berada pada kedudukan kedua dan ketiga apabila kiraan semula dibuat selepas ketiga-tiga pemain berkongsi lima mata hasil dua kemenangan dan sekali kalah.
Elicia Tsai pula berkongsi kedudukan tempat ketiga.
Dalam kategori Perempuan U18, Alice menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berada pada kedudukan kedua selepas mengumpul sembilan mata.
Juara kategori tersebut diraih Kylie Teo yang mengumpul 10 mata selepas memenangi semua lima perlawanan berdasarkan format liga.
Berkongsi tempat ketiga ialah Ting Ying Hii (Sekolah Menengah Chung Hua No.1) dan Tay Lynn Jia.
Ting Wei Jia (SJK Chung Hua No.3) memenangi kategori Perempuan U10 dengan mengalahkan Tan Chung Jia (SJK Chung Hua Sungai Tapang) 3-0 pada perlawanan akhir.