SIBU: Tahun Melawat Sarawak 2013 yang akan dilancarkan pada 16 September di Kuching mampu menjadi peluang terbaik untuk mengetengahkan Festival Tarian Antarabangsa Sibu (SIDF) tahun depan.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, Tahun Melawat Sarawak 2013 akan dilancarkan serentak dengan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Sarawak dan berlangsung sehingga September 2014.
“Jalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mencari tarikh yang sesuai untuk penganjuran SIDF sepanjang Tahun Melawat Sarawak.
“Kita dapat menjemput negara-negara ASEAN untuk melihat sendiri keunikan acara SIDF di Sibu atau mempelawa mereka mempersembahkan keistimewaan seni tarian negara masing-masing di Sibu tahun depan,” jelasnya.
Abang Johari berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Festival Tarian Antarabangsa Sibu 2013 di sebuah hotel terkemuka, malam kelmarin.
Katanya lagi, Sarawak turut menjadi tuan rumah kepada acara pelancongan antarabangsa tahun depan iaitu Forum Pelancongan ASEAN 2014 dan Persidangan Menteri-menteri Pelancongan ASEAN/Asia Timur.
“SIDF menjadi antara acara pelancongan yang mampu mengukuhkan persefahaman kepelbagaian kebudayaan di samping mengeratkan hubungan antara Sarawak dan negara jiran.
“Sarawak merupakan negeri yang mempunyai 27 kumpulan etnik yang menampilkan keunikan seni tarian masing-masing. Perkongsian kepelbagaian kebudayaan dan tarian turut mampu merapatkan hubungan komuniti seluruh dunia,” ujar beliau.
SIDF 2013 yang memasuki edisi kedua anjuran Sibu Hornland Dance Theatre dan disokong oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melibatkan 14 kumpulan tarian dari Taiwan, China, Lithuania, Thailand, India, Singapura dan Malaysia, berlangsung dari 13 hingga 17 Ogos ini.
Hadir sama ialah isteri Abang Johari Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Datu Ik Pahon Joyik, Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King dan Pengarah SIDF Chen Ing Kuan.