SIBU: Seramai lebih 1,000 pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah di Rumah Rehat Kerajaan Sri Rajang di Jalan Awang Ramli Amit, semalam.
Majlis yang berlangsung dari jam 11.30 pagi hingga 2 petang dengan cuaca panas terik itu telah dihadiri pelbagai lapisan masyarakat dan kaum yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis.
Selain menikmati hidangan yang disediakan, pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk bersalam-salaman dengan Tun serta isteri, sambil mengucapkan selamat Hari Raya.
Pada majlis rumah terbuka itu, Tun serta isteri turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 34 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Sibu serta 14 orang balu.
Duit raya itu disumbangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej ITA Sibu, Dato Sri Benny Lee.
Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Naroden Majais selaku menteri pengiring, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan KTS Vincent Lau Lee Ming serta yang lain.