MIRI: Tiga juadah kegemaran ramai iaitu air tebu, umai dan mi jawa yang banyak dijual di gerai-gerai ramadan di sini baru-baru ini disahkan dicemari mikroorganisma.
Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr Faizul Mansoor berdasarkan hasil analisis yang dilakukan ke atas beberapa sampel makanan yang dijual di gerai-gerai tersebut sepanjang bulan Ramadan lalu.
Katanya, pada bulan puasa lalu pihaknya mengadakan Ops Ramadan untuk memastikan para pemilik gerai dan pengendali makanan menitikberatkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan yang dijual kepada orang ramai.
“Dalam operasi sama, kami telah mengambil beberapa sampel makanan yang dijual di gerai-gerai itu untuk tujuan dianalisis dan hasilnya mendapati tiga daripada makanan tersebut iaitu air tebu segar, umai dan mi jawa dicemari mikroorganisma,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Faizul, pencemaran ke atas air tebu adalah disebabkan sikap peniaga yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan dalam menyediakan minuman itu seperti meletakkan batang tebu di atas lantai tanpa sebarang alas atau tempat khas yang bersih.
Selain itu, batang tebu yang tidak dicuci dengan bersih dan terus dimasukkan ke dalam mesin pengapit untuk mendapatkan perahan airnya juga boleh menyebabkan pencemaran berlaku.
“Mengelap batang tebu dengan kain kotor, selain penggunaan mesin pengapit dan bekas simpanan yang tidak dibersihkan dengan betul juga boleh menyebabkan air tebu yang disediakan dicemari mikroorganisma,” ujarnya sambil memberitahu batang tebu tersebut sepatutnya dicelup ke dalam air panas sebelum diapit atau diproses.
Begitu juga dengan umai dan mi jawa, yang tercemar kerana disebabkan cara penyediaannya yang kurang bersih.
Bagaimanapun, menurut Faizul, tiada peniaga yang dikenakan kompaun kerana kesalahan itu bukan merupakan kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).
“Sebaliknya, mereka (peniaga) hanya dikeluarkan notis agar meningkatkan amalan kebersihan dalam penyediaan makanan,” katanya sambil memberitahu tiada sebarang kes keracunan makanan dilaporkan membabitkan juadah yang dijual di gerai-gerai Ramadan.
Dalam pada itu, menurut beliau, hasil Ops Ramadan juga mendapati kebanyakan gerai jualan mendapat 80-90 markah dan ini bermaksud tahap kebersihan di gerai-gerai tersebut adalah memuaskan.
Manakala, terdapat juga di beberapa tapak gerai terlalu banyak kanopi yang didirikan hingga menjadikan kawasan terlalu padat dan sesak seperti gerai Ramadan di Pusat Komersil Morsjaya di sini.
“Keadaan sebegini boleh menjejaskan tahap kebersihan di tapak gerai terbabit kerana terlalu padat,” katanya.