SIBU: Ketua Polis Sibu ACP Shafie Ismail mengesahkan kes penggunaan mata wang palsu baru-baru ini tiada kaitan dengan perbuatan sindiket.
Shafie berkata, beliau percaya remaja lelaki yang ditahan kerana menggunakan wang palsu di sini diperolehi dari tempat lain.
“Ini hanya kes terpencil. Malah, saya juga mendapat tahu bahawa perkara berlaku di mana-mana.
“Namun, kita tidak pasti bagaimana ia diperolehi dan siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, polis memberkas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan merampas enam keping wang palsu RM100.
Terdahulu, suspek dikatakan bersarapan di sebuah kedai kopi.
Ketika dia cuba membayar sarapannya dengan wang palsu berkenaan, helahnya disedari penjaga kaunter yang kemudiannya menghubungi pihak polis.
Dalam pada itu, Shafie menasihat para peniaga supaya berhati-hati dengan memeriksa lebih lanjut setiap jenis mata wang yang dijual kepada mereka.
“Pastikan setiap wang kertas yang diterima adalah tulen dan dapat dibezakan dengan kualiti kertas yang digunakan,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Wilayah Tengah Sarawak Johnny Wong Sie Lee berkata sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang aduan mengenai penerimaan wang palsu.
Bagaimanapun, pada tahun lalu beliau telah dimaklumkan beberapa kes apabila tetamu mereka cuba membayar bilik hotel dengan wang palsu.
“Justeru, ahli persatuan perlu mengetatkan sistem keselamatan terutamanya di kaunter pembayaran terutamanya mereka yang bertugas pada waktu malam,” katanya.
Sehubungan itu, Wong juga menasihatkan ahli-ahli persatuan supaya menggunakan alat-alat yang diguna pakai pihak bank bagi mengesan wang palsu.