Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Rakyat terus nikmati kemajuan hasil kerjasama pemimpin, rakyat

$
0
0

BINTULU: Rakyat negeri ini terus mengecapi nikmat kemajuan hasil perkongsian bijak pemimpin dan rakyat serta pengurusan kekayaan sumber semula jadi yang terancang dan konsisten, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Jelasnya, melalui hasil eks-ploitasi sumber semula jadi yang cukup banyak di negeri ini khususnya sumber gas dan minyak berjaya menukar corak landskap ekonomi penduduk di negeri ini dengan pengwujudan peluang pekerjaan yang banyak bagi diisi oleh pekerja tempatan.

“Perkembangan industri gas dan minyak di Bintulu dan Miri turut mewujudkan industri hiliran secara tidak langsung menawarkan banyak peluang kerja dan bentuk perniagaan baharu sememangnya menguntungkan dan memberikan manfaat penduduk di negeri ini,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di Masjid Kampung Jepak di sini petang semalam.

Menurutnya, kerajaan pusat melalui kerajaan negeri bekerja keras selama ini memastikan hasil eksploitasi dari sumber semula jadi negeri berupaya membantu mewujudkan satu bentuk corak ekonomi baharu berteknologi canggih serta berkepakaran tinggi.

Katanya, apa yang jelas pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) sememangnya bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang berasaskan teknologi canggih bagi mengurangkan kebergantungan kepada eks-ploitasi hasil semula jadi.

“Sebagaimana yang kita semua maklum, kilang peleburan aluminium yang dikendalikan oleh Press Metal Berhad, loji pengeluaran silikon polihabluran yang dikendalikan oleh Tokuyama Malaysia Sdn Bhd dan banyak lagi syarikat asing yang bakal membuat pelaburan di SIP akan menjadi perintis kepada permulaan era industri berat di negeri ini yang membantu dalam memajukan Wilayah Tengah Sarawak yang agak kurang maju jika dibandingkan dengan bahagian lain negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata, projek SCORE merupakan suatu permulaan bagi projek besar masa hadapan yang mana komitmen tinggi pelabur bagi melabur projek gergasi ini menjadi tanda positif terhadap perkembangan ekonomi di Bintulu dan Sarawak secara keseluruhannya.

Justeru, para belia di negeri ini khususnya para graduan dan yang mempunyai pelbagai kemahiran dalam bidang kejuruteraan khususnya dalam mekanikal, elektrikal dan bidang berkaitan harus merebut peluang kerja ditawarkan di SIP pada masa sekarang.

“Itulah gambaran serba sedikit mengenai Projek SCORE yang menjadi projek terpenting negeri pada masa sekarang bagi menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030 dengan anggaran purata pendapatan penduduk RM3,000 ke atas,” jelasnya.

Majlis itu dihadiri kira-kira 3,000 penduduk di Kampung Jepak. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan), Datuk John Sikie Tayai.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228