MIRI: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan rakyat Sarawak khususnya generasi muda hari ini supaya memperlengkapkan diri dengan latihan kemahiran dan tek-nikal untuk membolehkan mereka terus maju dalam masyarakat perindustrian.
Katanya, dengan menguasai kemahiran bidang teknikal, generasi hari ini akan mampu bersaing dalam kalangan masyarakat perindustrian yang tidak mengira siapa penting dan kurang penting, sebaliknya mengutamakan kerja-kerja yang mampu dilaksanakan.
“Kita harus melatih diri kita sendiri dengan pelbagai kemahiran dan pelbagai ekonomi untuk mendapat tempat dalam masyarakat dan belajar untuk menjadi yang terbaik. Itulah satu-satunya cara untuk mencapai kecemerlangan dan melakukan yang terbaik.
“Rakyat Sarawak perlu ingat bahawa kita masih belum memiliki mentaliti atau pemikiran seumpama itu,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Ketua Menteri di sini, malam kelmarin.
Taib berkata, masyarakat perindustrian mempunyai satu undang-undang tegas iaitu seseorang itu perlu berusaha mencapai sesuatu tugas yang diberikan dan perlu dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.
“Inilah situasi yang akan berlaku kelak, jika kita mahu memahami bagaimana Sarawak akan menjadi sebuah negeri perindustrian selepas ia melahirkan satu generasi yang lengkap di bawah pelaksanaan SCORE,” ujar beliau.
Taib berkata, beliau amat bangga rakyat Sarawak dianugerahkan sebagai seseorang yang boleh dipercayai untuk melaksanakan kerja atau tugas-tugas yang perlu disiapkan tepat pada waktunya.
“Itulah satu perkara yang kita boleh belajar dan me-nguatkannya agar masyarakat perindustrian dan impian kita menyaksikan SCORE terlaksana dapat direalisasikan menjelang 2030,” tambah beliau.
Justeru, Taib mengingatkan rakyat supaya belajar daripada sejarah semasa industri minyak dan gas bertapak di Miri yang masih perkampungan nelayan ketika itu dengan syarikat gergasi, Shell menguasai era 50-an dan 60-an.
“Pada hari ini kita mulai sedar bahawa banyak belajar sepanjang kita mengharunginya (era Shell menguasai industri minyak dan gas) dengan menimba lebih banyak pengalaman, menjadikan kita lebih cekap dan berjaya melakukan banyak perkara (kemahiran) dengan lebih baik,” katanya ketika mengimbau bagaimana gene-rasi terdahulu menimba pengalaman kemahiran sepanjang mereka bekerja dalam industri minyak dan gas yang diterajui oleh Shell ketika itu.
“Masyarakat perindustrian mengajar kita supaya mendapat kesamarataan dan di Sarawak kita telah mencapai kemajuan di mana semua orang sama-sama merasai layanan sama rata, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Oleh yang demikian, ujar-nya, untuk memastikan setiap lapisan rakyatnya dapat me-nikmati kemakmuran negeri dengan keadaan yang sama rata maka semangat demokrasi dan perpaduan kaum yang telah lama wujud di negeri ini perlu dipertahankan.
Lebih 500 umat Islam termasuk pemimpin masyarakat, ketua jabatan serta pemimpin negeri peringkat kabinet dan pusat hadir pada majlis tersebut yang dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM).
Hadir sama isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Pengerusi LAKMM Datuk Abdillah Abdul Rahim.