KUCHING: Sekurang-kurangnya 30 orang dari 12 keluarga tinggal sehelai sepinggang dalam insiden kebakaran di Rumah Panjang Kampung Soh, Batu 27 Jalan Kuching-Serian, semalam.
Enam yang terjejas ekoran kebakaran itu ialah keluarga Impin Kalas, 67, Lunchong Baok, 68, Kertha Lunchong, 51, Lupa Ujang, 74, Riti Enchol, 52 dan Magdeline Asoon, 43.
Kebakaran membabitkan enam pintu daripada rumah panjang separuh konkrit 10 pintu itu disedari sekitar jam 9 pagi oleh John Amin, 57, yang sedang bertukang di bahagian hadapan selepas terhidu bau asap.
“Semasa saya menoleh ke belakang, saya lihat api telah marak di bahagian dinding luar rumah panjang tersebut.
“Tanpa melengahkan masa, saya menjerit ‘api api’ untuk memberi amaran kepada penduduk kampung lain sambil mencari alat pemadam api,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Riti Enchol, 52, memberitahu dia hanya sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting selepas mendengar amaran kebakaran.
“Saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang lain termasuk barang-barang di kedai runcit saya,” katanya.
Ibu kepada seorang anak itu yang menyelamatkan diri melalui pintu belakang meng-alami sedikit kesan lecur di bahagian lengan.
Dia menganggarkan ke-rugian yang dialaminya sebanyak RM200,000.
Menurut Tuai Rumah Kampung Soh Tingang Sabai, 54, sebahagian besar daripada penduduk kampung itu berada di gereja ketika kebakaran itu berlaku.
“Kami tidak jadi bersembahyang demi membantu memadamkan kebakaran tersebut setelah mendengar orang menjerit ada rumah terbakar,” katanya.
Katanya penduduk yang terjejas akan menumpang di rumah penduduk berdekatan atau di balai raya sementara menunggu bantuan daripada pihak berwajib.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Siburan bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 9.14 pagi.
Operasi memadamkan kebakaran itu diketuai oleh PBK II Mat Undek dengan bantuan 11 anggota termasuk daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serian.
Ketiadaan pili bomba memaksa pihak bomba menggunakan sumber air dari kolam berdekatan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 10.30 pagi.
Punca insiden dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.