MIRI: Penari dari Thailand menguasai tarian latin pada Pertandingan Tarian Antarabangsa Miri yang diadakan di Eastwood Valley Golf and Country Club, di sini malam kelmarin.
Thailand muncul juara dan pemenang kedua kategori tarian latin sementara tempat ketiga ialah Malaysia.
Seramai 100 penari terlibat pada pertandingan kali kedua itu.
Malaysia diwakili oleh penari-penari dari Ipoh, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Turut mengambil bahagian ialah penari dari Jepun, Greece, Filipina, Singapura dan Brunei.
Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin memuji kejayaan kejohanan itu dan berharap ia akan terus dianjurkan sebagai aktiviti tahunan dan pakej promosi untuk bandar raya Miri.
“Saya akan meminta kerjasama Kementerian Pelancongan dan Lembaga Pelancongan Sarawak untuk memastikan kejohanan ini dianjurkan secara besar-besaran untuk menarik lebih ramai penyertaan dari negara luar,” jelasnya.
Miri sebagai tuan rumah kejohanan berkenaan turut cemerlang dengan menjuarai empat kategori iaitu Latin Senior 35 Tahun Ke Atas, Latin Guru Pelajar Satu, Latin Guru Pelajar Tiga dan Latin Novice B. Miri turut mendapat tempat ketiga kategori Latin Pra-Amatur.
Miri diwakili Hentjie Egsaen, Denise Lim dan Adeline Moi yang juga merupakan ahli kepada penganjur aktiviti ini, Broadway Dance Studio.
Dua jenis tarian dipertandingkan iaitu Ballroom dan Latin yang terbahagi kepada kategori solo, berpasangan dan synchronize.
Tarian Ballroom dibahagikan kepada kategori waltz, foxtrot, tango, quickstep dan viennese waltz sementara tarian Latin melibatkan chachacha, rumba, samba, jive dan paso doble.
Hadir sama Pengarah Urusan Eastwood Datuk Seri Law Kiu Kiong.