KUCHING: Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh menyokong pendirian pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)Cawangan Sibu itu bahawa mereka bukan punca masalah yang melanda parti.
Sehubungan itu jurucakapnya Dr Jerip Susil merayu kepada Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin untuk berhenti menyalahkan kumpulan tersebut.
Dr Jerip menegaskan, masalah yang dihadapi oleh parti itu adalah disebabkan ahli-ahli dalam ‘rumah’ yang diterajui Chin dan menggesa beliau memperbetulkan keadaan.
“Kami menerima akibat daripada keputusan mereka (kumpulan Chin) yang bertentangan dengan semangat perdamaian… kami berpendapat kenyataan itu datang daripada seseorang yang tangannya terikat, dan dengan itu tidak dapat mengawal kepimpinan parti.
“Selagi parti dikawal oleh orang yang mempunyai agenda tersendiri, dan selagi persekitaran kepimpinan tersebut wujud, keikhlasan untuk perdamaian adalah satu usaha sia-sia,” kata Dr Jerip, yang juga pengerusi cawangan Bengoh berkata dalam sistem pesanan ringkasnya bagi mengulas kenyataan Chin semalam bahawa parti itu memerlukan usaha kedua-dua pihak untuk berdamai.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya bersedia untuk mencuba yang terbaik untuk menyatukan parti,” kata Chin.
Dr Jerip, yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam berkata kumpulan itu terkejut dengan kenyataan sedemikian.
“Beliau (Chin) mempunyai dua tangan, satu tangan seolah-olah memegang dahan zaitun tetapi sebaliknya memegang pedang untuk ‘memisahkan kita’, jadi kepimpinan SUPP seolah-olah bercanggah dengan diri mereka sendiri,” katanya.
Katanya kumpulan itu menyeru Chin untuk ‘membersihkan dalam rumah’dan bertegas demi mewujudkan satu imej baharu dalam parti.
“Dia (Chin) perlu membersihkan rumah terlebih dahulu kerana penyelewengan berlaku pada Disember 2011 semasa Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC),” katanya.
SUPP, parti tertua di negeri ini telah berpecah kepada dua kumpulan sejak menjelang TDC, dengan Wong, yang merupakan ADUN Bawang Assan, mengetuai satu kem dan Chin yang lain.
Orang lain dalam kem Wong adalah Dr Jerip (Bengoh), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar).
Sebelum dan selepas TDC, aduan telah dibuat terhadap 14 cawangan untuk penyelewengan dan pelanggaran perlembagaan parti.
Pada 6 Jun, parti itu telah diberi surat tunjuk sebab kepada Cawangan Piasau dan Bekenu untuk penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh dua cawangan berkenaan.