Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Ibu rayu anak bongsu balik Aidilfitri ini

$
0
0

BESUT: Bagi ibu tua berusia 99 tahun di Kampung Tok Donik, Kubang Bemban, Jerteh, Aidilfitri kali ini tetap tidak berseri jika anak bongsu yang menghilangkan diri sejak 14 tahun lalu masih tiada di sisinya.

“Makcik tidak tahu mengapa Salleh menghilangkan diri tak balik-balik sampai sekarang, padahal makcik tidak pernah marah dia,” kata Minah Yunus mengenai anaknya Salleh Daud yang kini berusia 51 tahun.

Warga emas itu yang ditemui Bernama di rumahnya semalam  juga memberitahu anak bongsu daripada tujuh beradik berkenaan turut meninggalkan isteri, Roslina Abdullah serta anak-anak yang kini sudah berusia antara 20 dan 29 tahun.

Malah katanya, Salleh juga sudah mempunyai dua orang cucu.

“Makcik berharap benar Salleh balik pada Hari Raya ini kerana makcik ingin menatap wajahnya selagi tubuh ini masih bernyawa,” katanya sayu.

Sementara itu abang Salleh, Ibrahim, 57, berkata adiknya itu bekerja sebagai buruh binaan di Singapura serta Johor sebelum menghilangkan diri.

“Dulu dia akan pulang menjenguk ibu, isteri dan anak-anak setiap bulan dan kali terakhir dia balik ialah pada 1999,” katanya.

Menurut Ibrahim, seorang daripada anak saudara mereka pernah terserempak dengan Salleh di Ipoh, Perak kira-kira enam tahun lepas, namun lelaki itu berdalih apabila ditanyakan alamat rumahnya.

“Kalau ada perkara yang mengguris hati, saya harap Salleh lupakan dan baliklah ke kampung pada Aidilfitri ini untuk berjumpa ibu yang sangat rindukan Salleh,” kata Ibrahim yang turut meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai adiknya itu menghubungi beliau di talian  019-9663407. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>