Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Peniaga diingatkan tidak naik harga barang kawalan

$
0
0

JANGAN INGKAR: Thomas (tengah) bercakap sesuatu kepada seorang peniaga semasa menyerahkan senarai harga barang kawalan kepada para peniaga di Pasar Besar Krokop di Miri semalam.

MIRI: Para peniaga diingatkan agar tidak menaikkan harga barangan kawalan sesuka hati melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan atau mereka terpaksa berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri, Thomas Chua Kee Chuan berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang didapati mengamalkan sikap tidak beretika semasa musim perayaan.

“Pihak KPDNKK akan menempatkan para pegawai penguatkuasanya dan pegawai pemantau harga di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar raya, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Kementerian juga akan membuat hebahan dan publisiti bagi memaklumkan tentang harga maksimum borong dan runcit yang ditetapkan kepada para peniaga dan orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, sekiranya ada di kalangan peniaga barangan harga terkawal yang didapati ingkar, mereka boleh didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan yang dilakukan individu.

Manakala bagi kesalahan yang dilakukan oleh pihak syarikat atau pertubuhan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000  atau dikompaun sehingga RM250,000.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui semasa mengumumkan penetapan harga maksimum borong dan runcit barang-barang harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 bagi peringkat Bahagian Miri di Pasar Besar Krokop, di sini semalam.

Menurut Thomas, para peniaga yang menjual barangan harga terkawal diingatkan agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan tersebut untuk membezakannya dengan barang-barang yang lain.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka didenda sehingga RM10,000 untuk kesalahan yang dilakukan individu dan RM20,000 untuk pertubuhan perbadanan atau syarikat,” jelas beliau.

Beliau menambah, di bawah skim ini para penjual juga diwajibkan menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan kerajaan dan pada masa sama meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

Malah, mereka digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi lebih rendah.

Dalam pada itu, pada musim perayaan kali ini sebanyak 18 jenis barang diletakkan di bawah skim kawalan harga musim perayaan yang bertujuan mengurangkan beban orang ramai semasa membeli-belah barang keperluan sempena musim perayaan Hari Raya Puasa tahun ini.

Ia terdiri daripada ayam hidup (RM6.70/kg untuk harga runcit dan RM6/kg untuk harga borong), ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal) pada harga RM8.50/ RM7.60 kg, ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) – RM9.50/ RM8.50, daging lembu import (RM21/RM19 kg), telur ayam Gred A (RM0.36/RM0.34sebiji), telur ayam Gred B (RM0.35 /RM0.33 sebiji) dan telur ayam Gred C (RM0.34 /RM0.32sebiji).

Manakala kubis bulat import (Indonesia dan Cina, tidak termasuk Beijing) – RM3.50/ RM2.50 kg, cili merah – RM14/RM12 kg, tomato – RM6/RM5 kg, kelapa biji – RM1.20 sebiji (borong), kelapa parut – RM4.50 kg, kacang tanah import – RM7/RM6 kg, bawang merah kecil (India) – RM5.50/RM4.50 kg, bawang besar import – RM4/RM3 kg, bawang putih (China) -RM5.50/ RM4.50 kg, ubi kentang import (China) – RM4/RM3 kg dan ikan kembung (lapan hingga 11 ekor sekilogram) – RM10/RM9 kg.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>