
NOSTALGIA MANIS: Henry (dua kiri), Asfia, Awang Tengah, Morliah bersama Mohd Supaih (tujuh kiri) dan Dr Rahman (dua kanan) bersama yang lainnya bergambar kenangan di Lawas malam kelmarin.
LAWAS: Pentadbiran bekas Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih Hamdan sejak hampir sembilan tahun di sini banyak menyumbang kepada kemajuan dan berjaya mengubah landskap pembangunan daerah ikan tahai itu walaupun terletak di wilayah paling utara negeri ini.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Mohd Supaih memiliki kualiti sebagai seorang ketua pentadbir di daerah ini dalam membangunkan Lawas selain bijak menangani pelbagai isu dan permasalahan setempat.
Jelas beliau, Mohd Supaih mempunyai kerjasama erat dengan pemimpin politik dan memiliki kemahiran berkomunikasi dengan rakyat tanpa memilih latar belakang dan kedudukan sehingga disenangi pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya tidak hairanlah pemergian beliau ke Mukah sebagai residen baharu meninggalkan kesan mendalam bagi seluruh masyarakat dan perjalanan pentadbiran daerah Lawas.
“Saya tidak pandai memuji seseorang tetapi hakikatnya kita kehilangan seorang sahabat, pegawai yang serba boleh yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan daerah Lawas.
“Harapan kita agar hubungan akrab dengan masyarakat Lawas akan terus kekal selamanya,” katanya pada Majlis Perpisahan Khas untuk bekas Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih Hamdan yang kini dinaikkan pangkat selaku residen Bahagian Mukah berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Hadir sama isteri Awang Tengah Datuk Morliah Datuk Awang Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan Residen Bahagian Limbang Maria Hasman.
Awang Tengah berkata, Mohd Supaih berjaya memimpin daerah Lawas hampir sembilan tahun sekali gus mencatat rekod sebagai pegawai daerah paling lama berkhidmat di daerah ini.
Dalam pada itu, beliau mahu penjawat awam dan masyarakat setempat terus memberi kerjasama kepada bakal pengganti yang akan memegang jawatan sebagai pegawai daerah Lawas baharu nanti.