
PEMENANG: Dirwana (berdiri tiga kiri), Delin (dua kiri), Dohan (empat kiri) bersama sebahagian pemenang Tabikarama Perpaduan Bahagian Betong kelmarin.
SRI AMAN: Kerjasama di antara ibu bapa dan guru penting demi masa depan buat anak-anak, kata Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak Dirwana Azool.
Menurutnya, ramai anak-anak yang berjaya dalam pelajaran merupakan mereka yang sentiasa menerima galakan daripada ibu bapa dan guru selain pihak sekolah.
“Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi galakan kepada anak-anak sehingga berjaya.
“Jika mereka berjaya kelak, kita pasti gembira kerana tanggungjawab kita sudah terlaksana,” katanya pada Program Tabikarama Perpaduan, Jabatan Perpaduan Bahagian Betong di Dewan Panglima Rentap, Betong di sini kelmarin.
Dirwana menegaskan, ilmu pengetahuan adalah asas kesempurnaan yang perlu ditimba dari kecil.
“Tanpa ilmu pengetahuan, sukarlah hidup anak-anak kita nanti.
“Kita berharap, anak-anak yang diberikan pendidikan sempurna akan membantu kita (ibu bapa) meningkatkan taraf hidup suatu hari nanti,” jelasnya.
Katanya ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan kepada anak-anak kerana ia merupakan hak mereka.
“Kegagalan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah akan menggelapkan masa depan generasi muda.
“Tiada alasan untuk mereka tidak berbuat demikian kerana kini wujud pelbagai kemudahan dan bantuan bagi golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Turut hadir Timbalannya Delin Liet Blaun, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong Mohamad Dohan Wahid serta yang lain.
Dalam pada itu, seramai 150 orang kanak-kanak Tabika Perpaduan di bahagian Betong melibatkan lima tabika termasuk Taska Permata terlibat dalam program berkenaan.