SIBU: Penduduk Rumah Awin Bajing, Sungai Mapai, Balingiau, Kanowit di sini memohon supaya masalah jalan berlubang selain laluannya yang sempit dinaik taraf.
Cuaca hujan kebelakangan ini telah menyebabkan kerosakan di sepanjang jalan kira-kira lima kilometer itu semakin teruk.
“Ada antara bahagian jalan berkenaan mempunyai lubang yang sangat dalam dan keadaan itu mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal.
“Justeru, saya mohon kepada pihak berkenaan supaya masalah jalan yang menghantui kira-kira empat rumah panjang di Sungai Mapai diatasi segera,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, perkara tersebut telah beberapa kali dirujuk kepada agensi kerajaan dan wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Namun, malangnya sehingga kini ia masih belum diambil sebarang tindakan.
Menurut Awin, sungguhpun sehingga kini masih belum berlaku sebarang kejadian tidak diingini namun tindakan pantas dalam menangani masalah berkenaan amat diharapkan.
“Jangan pula apabila berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini baharulah ada pihak yang datang membuat pemeriksaan,” katanya.
Tambah Awin, kebiasaannya jalan berkenaan diselenggarakan oleh syarikat perladangan kelapa sawit.
Bagaimanapun, corak selengaraannya tidak begitu sesuai untuk kenderaan kecil termasuk motosikal.
Ini kerana, mereka lebih gemar menggunakan batu besar untuk menutup bahagian jalan yang berlubang besar.
“Keaadaan permukaan jalan yang tidak sekata boleh menyebabkan berlaku kemalangan terutama pada waktu malam,” katanya.