Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Pembinaan Kem PGA Bintulu dijangka bermula tahun depan

$
0
0

BANTUAN: Wan Junaidi menyerahkan sumbangan kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Negeri Sarawak pada majlis tersebut, semalam.

KUCHING: Pembinaan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bintulu dijangka bermula tahun hadapan meskipun tapak tanah sudah diberikan kerajaan negeri, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pada masa ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih memikirkan langkah terbaik untuk memulakan pembinaannya kerana membabitkan perbelanjaan tinggi yang mungkin melebihi RM100 juta.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk mengubah sesuatu kawasan kepada kem, pembinaan rumah dan kuarters anggota, lapangan latihan serta pelbagai kemudahan lain.

“Buat masa ini kita masih memikirkan cara untuk memulakan pembinaan kem kerana ia melibatkan perbelanjaan agak besar.

“Membina kem seperti ini bukan RM20 juta hingga RM30 juta tetapi lebih RM100 juta, jadi kita perlu perancangan lebih terperinci untuk membangunkannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan bulan Ramadan dan cek bantuan kecemasan Ahli Parlimen Santubong di sini, semalam.

Beliau berkata, kebiasaannya pembinaan Kem PGA yang baharu turut melibatkan penempatan anggota.

“Kita perlu menempatkan anggota dengan cepat kerana ia merupakan keperluan keselamatan walaupun kem belum siap sepenuhnya,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya, adalah lebih baik untuk menambah keanggotaan di Bintulu daripada membawa anggota dari Kuching.

Mengulas lanjut mengenai kawalan keselamatan di Bintulu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, ia harus dipertingkatkan untuk melindungi aset di kawasan tersebut.

“Ini kerana dalam masa beberapa tahun akan datang Bintulu akan menerima pelaburan yang banyak,” jelasnya.

Terdahulu ketika berucap, Wan Junaidi mahu masyarakat berbilang kaum di Malaysia terus mengukuhkan perpaduan dan mengelak melakukan provokasi yang boleh menyebabkan ketegangan kaum.

“Lebih baik kita mengukuh perpaduan daripada berpecah. Ini kerana kalau kita berpecah maka mudah untuk orang luar mengambil kesempatan,” kata Wan Junaidi.

Majlis tersebut menyaksikan penyampain cek bantuan bulan Ramadan kepada surau dan masjid selain cek bantuan kecemasan yang keseluruhannya bernilai RM197,098.

Di samping itu, Bantuan Dermasiswa Badan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) dan sumbangan kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Sarawak turut disampaikan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pemanca Kuching Utara Rashidi Junai.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>