KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin menyangkal kenyataan Pengerusi SUPP Bengoh Dr Jerip Susil bahawa lima wakil rakyat dari puak mereka dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di Ibu Pejabat SUPP di sini semalam, Chin berkata kenyataan Dr Jerip tersebut adalah bercanggah daripada fakta sebenar.
Jelas Chin, hanya seorang sahaja wakil rakyat yang dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin dan beliau tidak menafikan individu tersebut merupakan salah seorang daripada wakil rakyat dari puak berkenaan.
Chin bagaimanapun enggan mendedahkan nama wakil rakyat tersebut yang kemungkinan salah seorang daripada puak berkenaan iaitu Dr Jerip sendiri, Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh, Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Francis Harden (Simanggang), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnnical Rayong (Engkilili).
“Disebabkan fakta yang tidak tepat oleh Dr Jerip itu, beliau dengan mudah menyimpulkan bahawa usaha pendamaian antara dua puak dalam parti ini sebagai tidak berjaya.
“Sebagai Presiden parti, saya sentiasa bersedia untuk berbincang dan berfikiran terbuka dalam apa jua perkara berkaitan parti termasuk usaha pendamaian bagi mengukuhkan parti.
“Tetapi apa yang dinyatakan oleh Dr Jerip dalam laporan akhbar (semalam) adalah tidak benar dan tidak tepat dan saya harap mereka jelas dengan perkara ini,” katanya.
Dr Jerip dalam kenyataannya kelmarin menyifatkan usaha pendamaian antara dua puak dalam parti itu sebagai tidak berjaya susulan lima daripada wakil rakyat mereka dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin.
Menurut Dr Jerip, tindakan merujuk lima wakil rakyat dari puak mereka ke Jawatankuasa Disiplin menggambarkan puak lain yang diketuai Presiden berkeras mahu membuang mereka dari parti.
Mengulas mengenai nasib parti itu, Chin berkata pihaknya menyerahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memutuskannya.
Namun demikian, katanya, sehingga keputusan dan laporan penuh belum diterima, parti masih sah dan masih sah untuk meneruskan tugas-tugas berkaitan parti.
Sementara itu, Chin berkata usaha untuk menggabungkan parti yang didominasi oleh kaum Cina iaitu MCA, Gerakan dan SUPP adalah tidak mustahil.
Bagaimanapun, menurutnya, penggabungan tersebut akan berhadapan dengan pelbagai halangan terutama bagi parti yang bersifat ‘multiracial.’
Chin yang tidak menafikan pernah dihubungi oleh beberapa pemimpin MCA berhubung penggabungan tersebut memberitahu, ia hanyalah perbincangan tidak rasmi.
“Secara tidak rasmi, ya ada seorang dua pemimpin MCA yang menghubungi saya mengenai usaha penggabungan ini.
“Tetapi secara peribadi saya berpendapat bahawa terdapat beberapa halangan jika berlakunya penggabungan antara MCA, Gerakan dan SUPP.
“Ini kerana SUPP adalah sebuah parti yang ‘multiracial’ dan MCA adalah sebaliknya yang mana hanya akan menyukarkan usaha ini,” katanya.
Tambah Chin, jika MCA benar-benar mahukan penggabungan, maka harus ada pertimbangan yang sewajarnya antara ketiga-tiga parti.
“Ia tidak mustahil jika kesemua pihak akan menikmati kebaikan yang sama. Tetapi saya memikirkan bahawa adalah lebih baik jika tiada penggabungan,” katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden SUPP Datuk Richard Riot Jaem yang ditemui enggan mengulas mengenai penggabungan tersebut.
Katanya, beliau tidak mahu menongkah arus dan menyerahkan kepada parti untuk mengulas mengenai penggabungan itu.
Chin dalam pada itu memberitahu parti tersebut sedang mengenal pasti calon berkelayakan untuk dilantik menjawat jawatan senator bagi parti berkenaan.
Katanya, parti telah menerima beberapa senarai nama mengenai calon dari beberapa cawangan dan ia akan ditentukan kemudian.
Chin juga menegaskan bahawa beliau adalah terkecuali daripada senarai tersebut tetapi yang pasti individu itu kelak adalah dari kalangan mereka yang akan memberi sumbangan jangka panjang kepada parti.