KUCHING: Beberapa penutupan jalan akan dilaksanakan sempena sambutan Hari Sukan Negara esok (Sabtu) di Padang Merdeka.
Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata jalan akan ditutup khususnya di pusat bandar raya dari jam 5.30 pagi hingga tengah hari tetapi beberapa laluan akan dibuka semula kepada lalu-lintas seawal jam 10.30 pagi selepas beberapa acara tertentu selesai.
“Acara itu dijangka disertai sehingga 10,000 peserta dan disebabkan itu kita perlu memastikan aliran trafik tidak terganggu.
“Mereka yang terlibat dinasihatkan untuk datang sebelum jalan ditutup pada 5.30 pagi walaupun polis masih membenarkan kenderaan untuk melalui bergantung kepada keadaan,” katanya pada satu sidang akhbar semalam.
Laluan-laluan yang akan ditutup adalah lampu isyarat Jalan RTM/Jalan Satok menuju ke Padang Merdeka, Jalan Gambier/Lebuh Java, Jalan McDougall, persimpangan Jalan Wawasan/Jalan Lebuh Wayang, lampu isyarat Jalan Pearl/Jalan Wawasan (di hadapan Plaza Merdeka), Jalan Main Bazaar/Jalan Lebuh Wayang menuju ke Bank UOB, lampu isyarat Sekolah St Mary menuju ke Jalan McDougall, dan Jalan Gambier/Jalan Main Bazaar.
Abang Ahmad seterusnya menasihatkan orang ramai untuk meletak kenderaan mereka di Taman Reservoir, Green Hill, Bangunan Saujana, Tempat Letak Kereta Top Spot, Tempat Letak Kereta Sarawak Plaza, Dewan Suarah Kuching, sepanjang bahu Main Bazaar (satu barisan), sepanjang bahu Jalan P. Ramlee (satu barisan) serta tempat letak kereta Poliklinik (sebelum jam 5.30 pagi).
“Semua anggota polis akan turun padang bersama anggota RELA dan pertugas acara untuk memastikan orang tidak meletakkan kereta dalam dua atau malah tiga barisan di sepanjang bahu jalan yang boleh mengganggu aliran trafik,” tambahnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk memastikan kenderaan mereka dikunci dan tidak meninggalkan barang berharga di atas tempat duduk kereta, untuk mengelak insiden tidak diingini daripada berlaku ketika mereka menyertai sambutan.
“Anggota polis juga akan ditempatkan di semua kawasan letak kereta untuk mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

DITUTUP: Abang Ahmad menunjukkan laluan yang ditutup sepanjang temasya tersebut.