Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Turunkan kesebelasan terbaik

$
0
0

PERSIAPAN: Skuad bola sepak negara menjalani latihan persiapan pertemuan dengan Chelsea FC pada perlawanan persahabatan antarabangsa
di Stadium Shah Alam malam ini dan bertemu FC Barcelona di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos nanti. — Gambar Bernama

KUANTAN: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menurunkan kesebelasan terbaik ketika skuad itu menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC malam ini.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, pertemuan malam ini adalah antara pentas terakhir untuk Rajagobal mencari keserasian dalam kalangan pemain sebelum skuad kebangsaan menentang Bahrain dalam perlawanan ketiga Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 15 Oktober ini.

“Saya harap Rajagobal akan barisi pemain yang dianggap sebelas utama, cukuplah bereksperimen sebab kita mahu mereka bermain dengan serasi kerana pertandingan penting akan berlangsung tidak lama lagi.

“Jadikan perlawanan ini (menentang Chelsea) persiapan rapi dan seolah-olah yang terakhir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan zakat perniagaan oleh tujuh badan korporat di sini semalam.

Selain Chelsea, Harimau Malaya juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab dari Jepun bermula 23 Julai hingga 1 Ogos dan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos.

Ditanya mengenai desakan ramai peminat bola sepak tanah air agar khidmat Rajagobal ditamatkan, Tengku Abdullah berkata perkara itu akan dilihat kemudian.

“Biar dia habiskan perjuangan dia dahulu kerana dia tahu apa harapannya dan saya harap dia dapat tunaikan apa sahaja harapannya itu dan kemudian baru kita bincang pasal perkara lain.

“Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan konsentrasi dia kerana kelayakan Piala Asia adalah indeks prestasi utama dia,” katanya.

Mengulas pertemuan dengan Chelsea yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam itu, Tengku Abdullah menagih pemain memberikan persembahan terbaik dan berusaha meraih kemenangan walaupun dilihat mustahil.

“Kita mahu lihat (kekuatan) benteng pertahanan pasukan kita sepanjang perlawanan itu serta keupayaan penyerang-penyerang kita dari segi statistik percubaan pada separuh masa pertama dan kedua,” katanya.

Chelsea memulakan jelajah pramusim 2013/14 di Asia dengan mengalahkan Thailand’s Singha All-Star XI, 1-0 di Stadium Rajamangala di Bangkok pada Rabu lalu.

Pasukan bimbingan jurulatih Jose Mourinho itu akan berada di Malaysia sehingga 23 Julai sebelum ke Indonesia untuk mengakhiri lawatan dengan menentang Indonesian XI bagi Piala BNI di Stadium Bung Karno di Jakarta. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>