Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Rumah Kupon Ingka musnah

$
0
0

BERHEMPAS-PULAS: Anggota bomba Saratok berusaha memadam api dalam kebakaran yang memusnahkan 13 pintu Rumah Kupon Ingka, Sungai Itop di Saratok, semalam.

Rumah panjang separa konkrit berusia lebih 20 tahun tiada bekalan air bersih, elektrik

SARATOK: Tiga belas pintu Rumah Kupon Ingka, Sungai Itop yang tidak menikmati bekalan air bersih mahupun elektrik, musnah dalam kebakaran awal pagi se­malam.

Kebakaran berlaku sekitar jam 9.45 pagi selepas keban­yakan penghuni rumah pan­jang 16 pintu terbabit sudah keluar bekerja.

Tuai Rumah Kupon Ingka ketika ditemui berkata, se­masa kejadian beliau sendiri tidak berada di rumah pan­jangnya kerana berurusan di pekan Saratok.

“Saya seolah-olah tidak percaya kejadian ini men­impa diri saya dan anak-anak buah saya. Ini kerana semasa pergi ke pekan awal pagi tadi (semalam), rumah panjang kami yang berusia lebih 20 tahun ini masih lagi gah berdiri.

“Namun, sekitar jam 9.50 pagi saya menerima panggilan telefon daripada anak buah saya yang mengatakan rumah panjang kami terbakar.

“Berita itu amat sukar saya percayai. Saya terus bergegas pulang ke rumah panjang kami yang terletak lebih kurang lima kilometer dari pekan Saratok,” ujarnya.

Kupon berkata, setibanya di lokasi kejadian, beliau mendapati 13 pintu rumah panjangnya sudah ranap.

“Manakala, tiga lagi pintu rumah masih berdiri teguh hasil usaha anggota bomba Saratok dan penduduk sekitar yang membantu mengawal api daripada terus merebak,” ujarnya sambil menjelaskan rumah panjang itu didiami seramai 181 penghuni.

Menurutnya lagi, rata-rata warga emas berada di rumah panjang berkenaan semasa kebakaran tersebut.

“Menurut anak buah saya, kejadian berlaku dengan begitu pantas dan mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda,” jelasnya.

Rumah panjang setingkat yang tiada bekalan elektrik dan air bersih itu mempunyai struktur separuh konkrit di bahagian bawah, manakala bahagian atasnya diperbuat daripada kayu.

Selama ini, penduduk hanya bergantung kepada kemu­dahan generator mudah alih peribadi, manakala untuk mendapatkan bekalan air, mereka bergantung kepada air tadahan hujan dan air sungai yang terletak lebih kurang 500 meter dari rumah panjang berkenaan.

Menurut seorang pen­duduk, walaupun rumah panjang itu terletak hanya kira-kira lima kilometer dari pekan Saratok, tetapi kualiti kehidupan mereka masih jauh ketinggalan terutama dari segi kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik.

“Faktor ketiadaan bekalan air turut menyebabkan usaha untuk memadamkan api di peringkat awal menemui jalan buntu sehingga api merebak dan tidak dapat dikawal lagi.

“Kebakaran dipercayai bermula dari salah sebuah bilik rumah panjang, namun kami tidak tahu apakah punca sebenarnya,” jelas penduduk terbabit berusia dalam ling­kungan 60-an.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sara­tok bersama sebuah jentera pemadam bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dari­pada orang awam.

Bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal dan memadam kebakaran tersebut. Tiada kehilangan jiwa dilaporkan.

Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam sia­satan.

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>