MARUDI: Projek menaik taraf Jalan Marudi menelan kos RM77.4 juta akan dilaksana selepas reka bentuk jalan tersebut siap pada pertengahan September tahun ini.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Penguang Manggil berkata, setakat ini kerja pengukuran sudah selesai dilaksanakan dan diteruskan dengan mereka bentuk jalan yang kini sedang giat dilaksanakan.
“Selepas reka bentuk itu selesai, baharulah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor CMS Roads Sdn Bhd memulakan kerja menaik taraf termasuk membaiki jalan berlubang.
“Kita berharap kerja mereka bentuk ini dapat disiapkan lebih awal sebelum pertengahan September agar kerja menaik taraf ini dapat dimulakan,” katanya kepada media semasa lawatan kerja meninjau sebahagian Jalan Marudi, semalam.
Penguang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, projek menaik taraf itu dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.
“Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM77.4 juta namun berdasarkan dapatan pengukuran, kita memerlukan kira-kira RM200 juta untuk membina sebuah jalan raya yang cukup baik.”
“Justeru kontraktor perlu membuat jalan tersebut mengikut peruntukan diberikan termasuk menggunakan teknologi dengan mengurangkan gradien sehingga 20 hingga 15 peratus,” katanya sambil menambah peruntukan yang tidak mencukupi merupakan faktor yang melambatkan projek tersebut.
Penguang mengakui, beliau banyak menerima rungutan daripada pengguna mengenai keadaan Jalan Marudi yang rosak dan sukar digunakan.
“Saya sedar ada mengadu bahawa saya tidak berbuat apa-apa semenjak memenangi pilihan raya bulan lepas. Ini tidak benar kerana hampir setiap hari saya agensi berkaitan khususnya JKR untuk berbincang dengan jurutera dan pengarahnya.
“Sekiranya mereka dapat menunggu sehingga 20 tahun sebelum ini, apa salahnya mereka menunggu setahun dua untuk saya melakukan yang terbaik menyelesaikan perkara ini. Lagipun projek ini memerlukan masa dan mustahil untuk dilakukan sekelip mata,” kata Penguang.
Sementara itu, Jurutera JKR Bahagian Miri Chong Yi Fam berkata, pihaknya tidak menunggu reka bentuk tersebut siap pada September sebaliknya akan memulakan kerja menaik taraf secepat mungkin terutama di kawasan memerlukan perhatian segera.
“Skop projek ini meliputi kawasan berbukit serta curam dan tanah rata dengan menggunakan kaedah tertentu yang bersesuaian dengan peruntukan yang ada.”
“Tiga kawasan curam ialah berhampiran Jambatan Sungai Arang manakala bahagian berbukit dari Miri hingga ke Sungai Arang. Kita akan menggunakan kaedah ‘Cement Stabilisation Method’,” kata Chong.
Tambahnya, jalan berbukit dan curam akan menggunakan campuran simen dan batu dan di atasnya menggunakan lapisan premix manakala bahagian jalan rata dari Sungai Arang hingga ke Marudi menggunakan jenis ‘commissioner’ iaitu batu tanpa simen dan lapisan premix di atas.
“Panjang jalan rata ialah 12 km manakala jalan berbukit dari Marudi ke simpang Sungai Arang ialah 31 km menjadikan jumlah keseluruhan ialah 43 km,” kata Chong.