MIRI: Polis Miri berjaya memberkas 10 orang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan judi haram di tempat awam dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Merpati di sini awal pagi kelmarin.
Menurut sumber, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Inspektor Nasrul Hadi Abdul Jahat telah membuat serbuan ke premis tersebut kerana dipercayai ada kegiatan judi haram dianjurkan di situ.
Dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 3.30 pagi, polis telah memberkas 10 orang lelaki yang dipercayai sedang bermain judi haram jenis Holo.
Semasa serbuan sama, polis turut merampas wang tunai RM1,130 dan satu set holo untuk dijadikan barang kes.
Manakala kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 57 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal-siasat lanjut mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.