KUCHING: Kelewatan penyambungan bekalan air bersih di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengoh menimbulkan kekecewaan sebilangan besar penduduk kampung khususnya di sepanjang Jalan Puncak Borneo, dekat sini.
Mula dilaksanakan sejak tahun lepas, projek tersebut sehingga sekarang masih belum siap sepenuhnya sedangkan penduduk telah diberi jaminan bahawa mereka akan dapat menikmati bekalan air sebelum Disember 2013.
Justeru, Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri yang juga Pemangku Ketua Cabang PKR Mambong Willie Mongin berkata, tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masalah tersebut akan selesai dalam masa terdekat.
Katanya, beliau difahamkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai pihak bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek itu mengalami kekurangan tenaga kerja, walaupun mereka telah menyiapkan pemasangan paip utama di sepanjang jalan termasuk penyambungan paip ke rumah-rumah di setiap kampung pada tahun lepas.
Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini paip yang telah siap disambungkan ke rumah masih belum dipasang meter menyebabkan para penduduk tidak dapat menikmati bekalan air.
Malah, tambah beliau, setiap kampung sebaliknya diarahkan untuk melantik kontraktor sendiri untuk pemasangan meter tersebut.
“Akibatnya, setiap penduduk terpaksa menanggung kos meter dan penyambungan paip tersebut dari bahu jalan ke rumah mereka dengan anggaran kos antara RM300 sehingga RM1,500 bergantung kepada jarak rumah dari bahu jalan,” katanya.
Berdasarkan temu bual dengan beberapa penduduk kampung, difahamkan caj keseluruhan (penyambungan paip ke rumah dan meter) yang dikenakan adalah dari RM800 sehingga RM1,500 bagi setiap rumah bergantung kepada kedudukan rumah berkenaan dengan paip utama.
Bagi penyambungan paip ke rumah yang menyeberangi jalan raya iaitu melibatkan pemotongan jalan, sesebuah rumah dijangka menanggung kos sehingga RM1,500 termasuk pemasangan meter.
“Caj sebegini adalah tidak wajar dan ia perlu diperhalusi bagi meringankan beban penduduk,” kata salah seorang penduduk.
Willie turut menyifatkan perkara tersebut amat membebankan para penduduk lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka yang kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya JKR dan wakil rakyat bagi kawasan berkenaan mencari jalan untuk meringankan beban yang perlu ditanggung oleh para penduduk.
“Antara cara yang boleh diguna pakai ialah menyerap sedikit daripada bil bulanan para penduduk apabila mereka mula menikmati bekalan air tersebut.
“Dengan bayaran ansuran ini, mereka tidak berasa terbeban secara sekali gus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan wakil rakyat bagi kawasan berkenaan supaya menyumbangkan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada setiap kampung bagi tujuan tersebut.
Pada masa sama, katanya, setiap kampung juga boleh membuat gotong-royong tanpa menggunakan khidmat kontraktor untuk mengurangkan kos pemasangan meter dan penyambungan paip.
“PKR Cabang Mambong sedia turun padang sekiranya para penduduk memilih cara gotong-royong untuk mengurangkan kos pemasangan paip mereka,” katanya.
Buat masa sekarang, kebanyakan kampung di sekitar Jalan Puncak Borneo hanya bergantung kepada bekalan air menggunakan sistem graviti.
Malah, mereka kini mula berhadapan masalah kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas sejak kebelakangan ini.