Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Kesilapan BN jadikan pembangkang kuat: Tiong

$
0
0

SENTUHAN TERAKHIR: Chin (kiri) dan Tiong (kanan) memberi sentuhan terakhir pada mata ‘singa’ sebagai simbolik perasmian Majlis Makan Malam Persahabatan SUPP-BN di Miri, kelmarin.

Kesilapan dilakukan dalam parti komponen BN sentiasa diambil kesempatan oleh pembangkang

MIRI: Kesilapan yang dilakukan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sama ada kecil atau besar, telah menjadikan pembangkang kuat.

Timbalan Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kesilapan yang tercetus dalam parti-parti komponen BN sentiasa diambil kesempatan oleh pembangkang, hingga dapat menggoyahkan sesebuah parti itu dan secara tidak langsung membuatkan seolah-olah pembangkang adalah ‘betul’ dan ‘kuat’.

“Pada hal mereka tidak kuat. Pakatan mereka adalah lemah. Tetapi kita yang menjadikan mereka kuat.

“Kita melakukan kesilapan seperti dalam pelaksanaan polisi, krisis dalam parti dan sebagainya.

“Kesilapan inilah yang diambil kesempatan oleh pembangkang dengan ‘menikam’ kita dari belakang.

“Sebab itulah mereka ‘kuat’, walaupun sebenarnya mereka tidak kuat,” katanya.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu, berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Persahabatan SUPP-Barisan Nasional (BN) sempena Tahun Baharu Cina di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Majlis anjuran Jawatankuasa Pusat (CC) SUPP itu turut dihadiri oleh Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin, Naib Presiden merangkap pengerusi penganjur majlis Andy Chia, Setiausaha Agung SUPP Profesor Dr Sim Kui Hian serta ahli-ahli CC yang lain dan pemimpin-pemimpin daripada parti kompenan BN Negeri yang lain.

Dalam pada itu, Tiong dalam ucapannya dengan lantang menyelar beberapa tindakan segelintir menteri yang tidak dapat menerima keputusan partinya dengan mengambil keputusan sendiri dan membelakangkan presiden parti.

“Sebaliknya mereka yang tidak mahu menerima keputusan parti perlu memberi penjelasan dan alasan yang kukuh kenapa mereka menolak,” katanya sambil menasihati mereka agar berhenti bersikap mementingkan diri sendiri sebaliknya mengutamakan kepentingan parti.

Hanya dengan demikian katanya, parti politik mereka akan terus bertahan dan bertapak kukuh.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang yang juga pengerusi PBB Cawangan Bekenu mengingatkan ahli-ahli parti politik BN supaya sentiasa menghormati pemimpin dan presiden parti yang dipilih dan dilantik oleh mereka.

Beliau berkata sebagai ahli sesebuah parti terutama parti politik kerajaan, mereka perlu menghormati pemimpin dan menghormati parti mereka, agar parti kekal kuat dan bersatu.

Dengan mengambil contoh pergolakan yang berlaku di Thailand ketika ini, Ahmad Lai berkata pergolakan yang berlaku di negara itu tercetus kerana tiadanya persefahaman dan parti-parti politiknya tidak bersatu padu.

“Sebaliknya ia berbeza dengan apa yang berlaku di negara dan negeri ini.

“Sarawak maju kerana diperintah oleh kerajaan yang kuat seperti BN dan BN kuat kerana parti-parti politiknya bersatu padu dan saling menghormati,” katanya.

“Oleh itu bagi mengekalkan kekuatan ini, kita mesti menghormati pemimpin parti kita.

“Kita mesti menghormati parti kita kerana dengan berbuat demikian maka parti kita dapat pergi lebih jauh ke hadapan dan menjadi lebih kuat.

“Kepada ahli-ahli SUPP yang berdepan dengan pelbagai krisis yang melanda parti, saya meminta agar semua ketua cawangan, ketua wanita dan ketua pemuda kembali bersatu, kembali bekerjasama dan kembali sebagai sebuah pasukan.

“Kalau ia dapat dilakukan, saya yakin SUPP terus kekal dan kembali menjadi sebuah parti yang kuat semula seperti sebelum ini,” ujar Ahmad Lai.

Dalam pada itu, lebih 500 ahli SUPP, PBB, SPDP dan PRS, hadir meraikan majlis makan malam tersebut.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>