KUCHING: Tawar-menawar dan perebutan dalam politik tempatan adalah perkara biasa dalam pelantikan ahli majlis kata Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok mendedahkan bahawa terdapat beberapa masalah teknikal dalam pelantikan di beberapa kawasan jika diambil kira daripada rasa tidak puas hati yang diluahkan oleh beberapa menteri yang juga dua parti politik dalam mesyuarat akhir kabinet berhubung perkara berkenaan.
SPDP bukan parti komponen tunggal dalam Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati kerana parti tulang belakang BN Negeri sendiri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut membangkitkan kekecewaan, kata Mawan yang turut menepis rungutan serta tuntutan untuk keadilan daripada peringkat akar umbi.
Bagaimanapun ujar beliau, jika ada sebarang masalah teknikal, ia harus diselesaikan dalam tempoh setahun seperti apa yang diutarakan dalam mesyuarat kabinet negeri.
Sehubungan itu beliau menggesa kepada semua ahli BN supaya bertenang terlebih dahulu memandangkan ia dapat diselesaikan dalam masa setahun.
“Tolong bertenang, tawar-menawar serta perebutan bagi pelantikan adalah perkara biasa.
“Apa sahaja masalah dalam politik adalah perkara semula jadi.
“Kami (kabinet) melalui jawatankuasa kecil akan menyelesaikan perkara ini.
“Semuanya mungkin dapat diselesaikan dalam masa setahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada empat ahli majlis MBKS baharu yang mewakili SPDP di pejabatnya di Masja di sini, semalam.
Berhubung pelantikan empat ahli SPDP di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Mawan berkata, mereka adalah muka baharu daripada pelbagai latar belakang dan pelantikan mereka menggambarkan SPDP yang sebenar.
Mawan pada masa yang sama bagaimanapun menasihati muka-muka baharu itu supaya tidak menganggap ia sebagai ‘harta peribadi’ kerana suatu hari nanti mereka akan melepaskan jawatan ahli majlis kepada ahli parti yang lebih muda.
Beliau katanya mahu ahli majlis SPDP yang dilantik, menangani isu kemiskinan bandar dan menjadikan ia sebagai keutamaan kerana jika tidak, ia merugikan orang ramai.
“Mereka akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik kerana mereka layak.
“Mereka adalah peguam, juruterbang dan usahawan dengan profesion serta latihan,” katanya merujuk kepada juruterbang Kapten Zainuddin Hamdan Sirat (juga Naib Presiden SPDP), peguam Dom Silang dan Tony Chen (Ketua Putera SPDP) serta usahawan Manjeet Kaur Sidhu.