Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

CUEPACS gesa kerajaan percepat semakan 100 skim khidmat awam

$
0
0

Selesaikan segera kerana tidak libat jumlah wang yang banyak: Presiden

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mempercepatkan perundingan dengan kesemua kesatuan pekerja terutama pembantu tadbir supaya penambahbaikan 100 skim yang diumumkan dapat diselesaikan segera.

Presidennya Azih Muda berkata kajian semula 100 skim perkhidmatan awam seperti yang diumumkan pada November lepas perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari sekarang kerana ia tidak melibatkan banyak implikasi kewangan.

“CUEPACS mahu kerajaan memberi perhatian serius dan ia perlu dipercepatkan kerana gambaran yang ada kepada penjawat awam berkenaan seolah-olah mereka terpinggir kerana semakan skim dibuat secara berasingan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan anggota Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) di sini semalam.

Beliau berkata CUEPACS akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kesemua skim yang dikaji semula diberi penambahbaikan secara serentak supaya tiada isu berbangkit kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam.

Golongan pembantu tadbir dalam perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan berjumlah kira-kira 200,000 orang telah menunggu terlalu lama untuk skim mereka diberi penambahbaikan, katanya.

“Kita tidak mahu lama sangat untuk ia diselesaikan kerana jurang dengan skim yang lain nanti akan lebih luas. Kita mahu kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selesaikan perkara ini sebelum Jun tahun ini dan tidak perlu menunggu sehingga pembentangan Bajet 2015,” katanya.

Azih berkata CUEPACS juga mencadangkan supaya nama jawatan pembantu tadbir ditukar seperti kepada pegawai khidmat tadbir sejajar dengan inisiatif transformasi kerajaan serta sumbangan besar golongan itu dalam pentadbiran negara.

Pada 13 Jan lepas, Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan bagi kajian semula 100 skim perkhidmatan awam.

Katanya kajian penambahbaikan skim itu meliputi kumpulan penguat kuasa dan perkeranian dalam penyelarasan tangga gaji, syarat kemasukan dan juga kebajikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata CUEPACS akan mengadakan lawatan ke semua hospital kerajaan selepas mendapati institusi kesihatan awam itu sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah pada masa sekarang.

“Kami mendapat maklumat ada pesakit terpaksa ditempatkan di laluan keluar masuk serta di kaki lima selain difahamkan penjawat dan orang awam terpaksa menunggu bagi tempoh yang amat panjang untuk mendapatkan rawatan hemodialisis,” katanya.

Azih berkata terdapat penjawat awam sebagai pesakit luar pergi ke hospital pada jam 6 pagi semata-mata untuk mendapat nombor giliran yang mula dibuka pada jam 8 pagi, keadaan itu sekali gus merugikan masa perkhidmatan penjawat awam itu kepada kerajaan kerana beliau perlu bekerja selepas menerima rawatan.

Situasi yang dialami hospital kerajaan akan bertambah membebankan apabila hospital swasta hanya mengutamakan pesakit yang mempunyai insurans perubatan serta kad kredit, katanya. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>