Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

SDGA, Swinburne S’wak anjur Persidangan Keusahawanan Wanita

$
0
0

KUCHING: Bahagian Wanita Persatuaan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) dengan kerjasama Fakulti Reka Bentuk dan Perniagaan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) akan menganjurkan Persidangan Keusahawanan Wanita 2014 pada 22 dan 23 Mac akan datang.

Pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan, Carolina Sandra Gaing berkata persidangan yang berlangsung selama dua hari itu akan diadakan di Auditorium Swinburne Sarawak di sini dan penyertaannya dibuka kepada usahawanita tempatan.

“Persidangan Keusahawanan Wanita 2014 dianjurkan khas untuk wanita yang terlibat dalam bidang perniagaan berskala kecil.

“Ia bakal menghimpunkan pemilik serta pemimpin perniagaan kecil dari seluruh negara bagi berkongsi pengalaman serta kejayaan dalam bidang diceburi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika bersama rombongan SGDA diketuai Presidennya Dr Dusit Jaul mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di pejabat menteri di bangunan Baitulmakmur di sini kelmarin.

Carolina menambah, tema persidangan kali ini ialah ‘Mewujud dan Mengekalkan Keusahawanan Wanita Menerusi Seni Rangkaian Perhubungan’.

Menurutnya antara objektif persidangan ialah mewujudkan kesedaran tentang pentingnya rangkaian hubungan dalam kalangan usahawanita di wilayah ini, belajar membina dan mengekalkan rangkaian peribadi serta perniagaan bagi membolehkan perniagaan berkembang maju.

Ia juga katanya, menyediakan landasan untuk usahawanita menjalinkan kerjasama dengan industri, organisasi swasta, agensi-agensi kerajaan dan institusi pendidikan.

Beliau memberitahu, pakar daripada kalangan komuniti peniaga kecil dari seluruh negara akan membentangkan kertas kerja, antaranya Presiden Persatuan Usahawanita Kebangsaan Malaysia (NAWEN) Sarojini Ruth Rajahser, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Madeline Berma dan Florince Christy daripada MAXCEL Institute Of Management Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dijadual menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Mewujud dan Mengekalkan Keusahawanan Wanita Menerusi Seni Rangkaian Perhubungan’ sekali gus merasmikan persidangan pada 22 Mac 2014 jam 11.30 pagi.

“Selain itu Datuk Fatimah selaku penaung persidangan ini akan menyempurnakan majlis penutupan persidangan ini pada 23 Mac jam 3.30 petang,” katanya.

Carolina memberitahu, selain melibatkan penyertaan golongan profesional, persidangan itu akan turut menyaksikan penglibatan agens-agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), SME Bank, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Unit Keusahawanan Jabatan Ketua Menteri dan Biro Wanita Sarawak.

Sementara itu, Fatimah berkata inisiatif SDGA dan Swinburne Sarawak merupakan usaha yang dialu-alukan oleh kementeriannya kerana ia diyakini meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam perniagaan.

“Penganjuran persidangan ini tepat pada masanya, kerana Sarawak dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang-bidang utama dan perniagaan salah satu daripadanya.

“Saya yakin dengan penyertaan mereka dalam persidangan ini nanti, ia akan membuka ruang serta peluang untuk mereka lebih berjaya,” katanya.

Yuran penyertaan bagi persidangan selama dua hari itu ialah RM650 seorang dan pendaftaran awal sebelum 1 Februari 2014 akan dikenakan bayaran istimewa RM550.

Mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai persidangan itu boleh menelefon 082-258588 atau e-mel ke sarawakdga@gmail.com.

Keterangan lanjut juga boleh diperoleh dengan menghubungi Angela Sating di talian 013- 8054771, Hazelina Samuel (013-8026910) atau Amelia Jimbun (019-8891758).


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>