SUNGAI PETANI: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji cadangan memberi insentif tambahan kepada doktor pakar supaya mereka meneruskan perkhidmatan di hospital-hospital kerajaan.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kementerian memandang serius isu itu dan berharap dapat mengekalkan pakar-pakar Kementerian Kesihatan dengan pemberian insentif-insentif baharu.
“Kita akan latih lebih ramai lagi pakar di universiti tempatan dan universiti luar negara…dalam masa sama, kita mahu cuba mengekalkan pakar sedia ada di kementerian.
“Kita juga membincangkan mengenai pemberian insentif tambahan kepada pakar. Jika kerja di tempat jauh seperti Sabah dan Sarawak, memang banyak insentif yang diberi tetapi kita akan cari apa lagi bentuk insentif untuk ditambah,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penutup Simposium Pengurusan Luka Ortopedik Kesembilan 2016 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, semalam.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail dan Pengarah HSAH Dr Zainal Che Mee.
Dr Hilmi berkata terdapat kira-kira 5,000 doktor pakar di seluruh negara namun, bilangan yang meletakkan jawatan daripada kementerian juga mencecah ratusan kerana faktor tawaran gaji lebih lumayan oleh pihak swasta.
Selain itu, katanya terdapat cadangan supaya membenarkan doktor pakar bekerja di hospital swasta dan mempunyai pesakit yang membiayai sepenuhnya kos rawatan dan perubatan.
“Ada permintaan daripada kalangan pakar untuk mewujudkan wad swasta di hospital-hospital kerajaan. Setakat ini, ia sudah dilaksanakan di Hospital Putrajaya dan Hospital Selayang…kita akan teliti,”katanya.
Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata dalam program lawatannya semalam ke HSAH dan hospital lama yang kini beroperasi sebagai Klinik Kesihatan, beliau melihat adanya keperluan untuk menambah mesin haemodialisis bagi menampung keperluan pesakit di situ.
“Saya juga melawat bahagian ortopedik dan dimaklumkan mereka memerlukan peruntukan RM600,000 untuk membeli peralatan baharu bagi menggantikan peralatan yang sudah rosak,” katanya.
Beliau berkata Kementerian juga bersetuju memperuntuk RM150 juta untuk membina bangunan baharu yang dilengkapi peralatan perubatan dalam Rancangan Malaysia Ke-11. — Bernama