MIRI: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Miri bakal mengadakan rumah terbuka pada 9 Februari depan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di Restoran Cahaya Taufik, di sini bermula 10 pagi hingga 1 petang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Alan Ling pihaknya menjemput semua penduduk Miri datang beramai-ramai untuk memeriahkan program berkenaan.
“Kita (DAP) bergabung mengadakan program rumah terbuka sempena TBC pada tahun ini,” katanya di sini semalam.
Antara program lain yang dirancang ialah persembahan tarian singa dan pembahagian angpau kepada kanak-kanak.
“Selainnya (program) masih dirangka dan kita serahkan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Miri,” jelasnya.
Ini kerana ia merupakan anjuran bersama PAS Miri dan semua program serta tentatif disediakan pihak tersebut.
Tetamu kehormat yang bakal merasmikan program itu ialah Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.
Sementara itu, terdapat empat kumpulan tarian singa mewakili DAP Miri pada hari pertama sehingga hari ke-15 TBC.
“Kita akan gunakan wang terkumpul nanti untuk segala aktiviti dan program anjuran DAP,” kata Alan sambil menambah bahawa semua jumlah wang bakal diuar-uarkan kepada umum.
Katanya, tujuan program adalah untuk mempromosikan kebudayaan dan warisan Cina di samping mengukuhkan integrasi kaum.