KUCHING: Hab Herba, iaitu sebuah tempat bagi pembangunan hasil-hasil herba tempatan, akan dibangunkan di kawasan Mambong bagi memperkasakan industri herba di Sarawak.
Presiden Institut Pengurusan Sains Asian Prof Dr Razali Bolhi berkata, projek perintis itu merupakan sebahagian daripada manifesto kerajaan yang telah dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.
Projek ini juga, katanya, akan menjadi tempat untuk membangunkan herba-herba tempatan yang berpotensi dipasarkan di seluruh dunia.
“Di Semenanjung Malaysia, seluas 1,500 hektar tanah telah diusahakan bagi tujuan herba dan hanya sedikit sahaja yang telah diusahakan di Sarawak.
“Sebab itu, kita memerlukan projek Hab Herba ini di Mambong dan ia perlu dilaksanakan segera yang mungkin sebelum kedatangan pihak luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan laporan seminar bagi Program Merealisasikan Hab Herba dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Mengulas mengenai program tersebut, Dr Razali berkata ia sebagai platform dalam melaksanakan hasrat dan janji Barisan Nasional (BN) P.198 Mambong untuk merealisasikan Mambong sebagai Hab Herba Sarawak.
Program itu juga adalah sebagai ‘ice breaking’ untuk titik permulaan kepada pelan strategik projek pelaksanaan Hab Herba di Mambong, katanya.
Dianjurkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Mambong dan Agrotechs Academy program semalam telah disertai oleh seramai 60 orang usahawan agrotani.
Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan iaitu ‘Industri Agrotani Herba Tempatan’ oleh Dr Razali sendiri, diikuti ‘Masa Depan serta Peluang Perusahaan dan Pembangunan Industri Herba Malaysia’ oleh Dr Chua Hun Pin, ‘FAMA sebagai Pembimbing Dalam Pemasaran Hasil IKS dan Hab Industri Herba’ oleh Su’udi Arof dan ‘Kepelbagaian Bio Sebagai Aset dan Khazanah Hab Industri Herba Sarawak’ oleh Prof Dr Fasihuddin Ahmad.
Dalam pada itu, majlis perasmian dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang diwakili oleh Pegawai Khasnya Paul Ponar.