SIBU: Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling menggesa kerajaan memastikan semua kampung-kampung Melayu di sini menerima pembangunan infrastruktur asas yang cukup.
Ini kerana, kerajaan tidak seharusnya melaksanakan pembangunan untuk satu kampung sahaja malah mesti menumpukan semua kampung di sini agar pembangunan disalurkan sama rata.
Beliau turut memuji peruntukan sejumlah RM11.3 juta diumumkan untuk membina semula pembangunan infrastruktur di kawasan Kampung Datu Baru/Kampung Hilir dan di Batu 11, Jalan Oya.
Ling semalam mengulas pengumuman yang dibuat Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang akan membangunkan semula Kampung Datu Baru dan Kampung Hilir dalam tiga fasa melibatkan penstrukturan semula 208 rumah sedia ada untuk 300 hingga 500 keluarga.
Abang Johari juga menyebut projek itu akan menggabungkan penyusunan semula sistem perparitan dan jalan raya, pemasangan kemudahan awam dan pembinaan rumah mampu milik.
“Ini adalah satu langkah yang baik tetapi kerajaan tidak harus mengabaikan kampung-kampung Melayu lain,” tambahnya.
Ling mendedahkan nama kampung-kampung Melayu di sini yang memerlukan perhatian ialah Kampung Jeriah, Kampong Sentosa dan Kampung Bahagia yang menghadapi masalah infrastruktur sejak sekian lama terutamanya dengan sistem saliran parit.
Beliau berkata, banjir kilat sering terjadi di kampung-kampung tersebut apabila hujan berterusan.
Ling percaya masalah terbabit dapat diselesaikan jika kerajaan mempunyai perancangan yang teliti serta tidak pilih kasih dalam melaksanakan pembangunan.
“Kerajaan adalah pihak bertanggungjawab memastikan bahawa pembangunan infrastruktur di setiap kampung di sini sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.